PUTRAJAYA – Kerajaan sudah bersedia untuk melaksanakan darurat cuaca ekoran suhu panas melanda negara sekarang, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, keputusan tersebut bagaimanapun belum diputuskan kerajaan.
“(Darurat cuaca panas) (Kerajaan) belum (putuskan) lagi. Tapi kita sudah sedia,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat bagi 2023 di Perdana Putra, di sini, hari ini.
Jelas Ahmad Zahid, buat masa ini kerajaan akan menggunakan Arahan Nombor 20 di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi langkah-langkah berjaga-jaga.
“Kita sedang pantau 24 jam kalau ada darurat kita akan buat pengumuman. Buat masa ini belum lagi,” kata Ahmad Zahid.
Menurutnya, Arahan 20 Majlis Keselamatan Negara berhubung pengisytiharan darurat akan digunakan sekiranya cuaca panas melampau berterusan.
Buat masa ini, Ahmad Zahid berkata, kerajaan telah mengarahkan agar aktiviti pembenihan awam dilakukan segera dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia dan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Aktiviti pembenihan awam jelas, Ahmad Zahid akan ditumpukan di beberapa kawasan empangan air.
“Kita akan menumpukan kepada tujuh kawasan yang dijangka paras air akan menurun dan ini akan menyebabkan bekalan air terjejas.
“Petang ini saya akan terus ke Sungai Muda dan Sungai Kedah untuk melihat sendiri keadaan di sana dan mengambil tindakan segera iaitu dari segi pembenihan hujan,” katanya dalam sidang media sama.
Tujuh empangan tersebut adalah Empangan Sungai Muda, Sungai Kedah, Sungai Melaka, Sungai Kelantan, Sungai Klang, Sungai Bernam dan Sungai Similajau di Sarawak.
Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat bagi 2023 hari ini turut memaklumkan bahawa pihaknya telah mengenal pasti 406 lokasi utama yang dijangka akan berlaku kebakaran terbuka ekoran cuaca panas.
“Sebanyak 616 operasi pemantauan 24 jam di kawasan-kawasan yang selalu berlaku kebakaran, terutama kategori kawasan kebun dan ladang, hutan, belukar dan kawasan sampah
“Kita telah mempunyai 101 telaga tiub di kawasan tanah gambut di mana kita melakukan penyedutan air bagi memadamkan kebakaran selain jentera bomba,” katanya. – MalaysiaGazette