Pelakon, Hafidz Roshdi selepas hadir dalam sebutan kes penceraian dengan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri ketika di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 21 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Hafidz Roshdi telah membuat permohonan untuk menuntut hak penjagaan penuh dua anaknya yang kini berada di bawah jagaan isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri.

Perkara itu disahkan oleh peguam syarie yang mewakilinya iaitu Ummi Kartini Abd Latiff kepada media hari ini.

Permohonan tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Jumaat lepas.

Peguam itu turut memaklum, Hafidz turut memohon hak jagaan interim (sementara) bagi kedua-dua anaknya.

“Permohonan hak jagaan interim dibuat kerana terdapat kesulitan untuk Hafidz berjumpa atau berkomunikasi dengan anak-anaknya,” katanya.

Sebelum ini, pelakon lelaki itu pernah meluahkan kesedihan kerana tidak dapat berjumpa anak-anaknya pada Hari Raya Aidilfitri lepas.

Pada 9 Mei lalu, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam telah menetapkan 20 Jun ini bagi perbicaraan pengesahan lafaz cerai Hafidz dan Shuhada.

Hakim Syarie, Siti Rahmah Hussin menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan wujud isu berhubung lafaz cerai luar mahkamah yang didakwa berlaku sebanyak dua kali.

Nurul Shuhada memfailkan perceraian di mahkamah itu pada 27 Februari lalu, susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga.

Hafidz atau dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Hafidz juga didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru atas pertuduhan menumbuk pipi kiri Shuhada sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, Hulu Selangor.

Dalam pertuduhan Hafidz didakwa menumbuk isterinya Shuhada menggunakan tangan sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Bini ko pun ko boleh tumbuk sampai masuk hospital, ada jaminan ker ko tak akan belasah anak ko? haa

Comments are closed.