Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 dan Sambutan Hari Raya Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 16 MEI 2023.

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan memperkenalkan perkhidmatan secara dalam talian melalui sistem MyOnline Passport sepenuhnya di tiga cawangan terpilih mulai 1 Jun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cawangan itu melibatkan Pejabat Imigresen Kajang, Pejabat Imigresen Kelana Jaya dan Pejabat Imigresen Wangsa Maju.

Menurutnya, ketiga-tiga pejabat cawangan itu dipilih kerana ia merupakan antara pejabat yang menjadi tumpuan di Lembah Klang dan antara pejabat yang mengeluarkan pasport yang tertinggi.

“Selain itu, pejabat-pejabat ini terletak di kawasan yang mempunyai liputan internet yang baik justeru tiada alasan permohonan secara dalam talian tidak dapat dilaksanakan.

“Ini bermaksud, pejabat cawangan ini akan menerima permohonan secara dalam talian bagi permohonan pembaharuan pasport bagi pemohon berumur 13 hingga 18 tahun, pemohon berumur 18 hingga 59 tahun dan pemohon warga emas berumur 60 tahun ke atas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 dan Sambutan Hari Raya Jabatan Imigresen Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifudddin menambah, dengan pelaksanaan permohonan secara dalam talian itu, kategori pemohon yang berumur 13 hingga 59 tahun adalah tidak diterima di kaunter atau secara ‘walk-in’ atau datang secara terus di ketiga-tiga pejabat terpilih itu

Bagaimanapun ujar beliau, pejabat berkenaan masih menerima permohonan-permohonan di kaunter atau ‘walk-in’ bagi pemohonan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, pemohon Warga Emas berumur 60 tahun ke atas dan bakal jemaah haji yang menerima tawaran Tabung Haji.

Permohonan lain katanya, melibatkan pelajar berumur 21 tahun ke bawah yang menerima tawaran pengajian di luar negara, Orang Kurang Upaya (OKU) dan ahli keluarga yang mengiringi pemohon kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah.

“Jabatan Imigresen juga dalam usaha untuk menambahbaik perkhidmatan secara dalam talian ini dengan memperluaskan kategori yang dibenarkan.

“Dalam tempoh yang terdekat jabatan ini akan memperkenalkan perkhidmatan MyOnline Passport untuk permohonan kali pertama bagi pemohon berumur 18 hingga 59 tahun, pemohon Warga Emas berumur 60 tahun ke atas,” katanya.

Saifuddin turut memberitahu, sejak Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan pada April tahun lalu hingga akhir tahun lalu sebanyak 2,347,493 pasport telah dikeluarkan.

“Bagi tahun ini sehingga 12 Mei lalu, JIM telah mengeluarkan sebanyak 1,674,293 pasport.

“Daripada jumlah ini sebanyak 464,725 pasport adalah daripada permohonan secara dalam talian,” katanya. – MalaysiaGazette