KUALA LUMPUR- Perkhidmatan e-dompet Touch ‘n Go (TNG) mengalami gangguan teknikal hari ini.
TNG dalam kenyataan di Facebooknya berkata, mereka sedang berusaha mengatasi masalah tersebut dan meminta maaf kepada pelanggan di atas kesulitan yang dialami.
Katanya, sekiranya pelanggan mempunyai baki e-dompet yang mencukupi, mereka masih boleh menggunakan perkhidmatan Pay Direct dan RFID seperti biasa.
“Kami sedang menghadapi masalah teknikal pada masa ini dan sedang menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.
Terdahulu, pengguna-pengguna TNG memuat naik hantaran di sosial media memaklumkan perkhidmatan syarikat itu sedang mengalami gangguan.
Katanya, terdapat pengguna didaftar keluar (log-out)secara automatik daripada akaun masing-masing dan tidak boleh mendaftar masuk semula.
Terdapat sebilangan pengguna pula masih boleh mengakses akaun masing-masing namun aplikasi berkenaan terlalu perlahan berbanding biasa.
Mereka juga tidak boleh untuk memeriksa baki akaun e-dompet TNG.- MalaysiaGazette