Gambar hiasan. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 MAC 2021.

KUCHING – Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) sedang bekerjasama dengan Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) bagi membangunkan aplikasi pemantauan kehadiran buaya secara real time’ atau data masa nyata.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, menerusi aplikasi itu, populasi buaya dapat dipantau secara berterusan dan kawasan panas konflik manusia dan buaya dapat dikenal pasti.

Katanya kerajaan Sarawak sentiasa bersedia mempelopori penggunaan teknologi terkini dalam mana-mana bidang.

“Secara amnya, (buat masa ini) dron dan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) digunakan untuk membuat pemerhatian dan merekodkan taburan buaya dan sarang buaya.

“Walau bagaimanapun, kita perlu akur yang kita perlu berkongsi habitat dengan buaya dan kita perlu mengambil langkah bersesuaian untuk mengurangkan risiko serangan buaya,” katanya menjawab soalan Mohd Chee Kadir (GPS-Kabong) semasa sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Mohd Chee mahu tahu apakah langkah-langkah yang telah dan akan diambil kerajaan negeri bagi mengatasi ancaman serangan buaya di Sarawak.

Len Talif berkata, dari tahun 2020 hingga kini, SFC telah menjalankan sebanyak 107 operasi dan 95 ekor buaya telah ditangkap serta 482 biji telur telah dipindahkan.

“Dari tahun 2020 hingga tahun 2022, sebanyak 77 lesen pemburuan buaya telah dikeluarkan.

“Program Kesedaran 3M (mengetahui, memahami dan memulihara) Buaya juga sentiasa dianjurkan di kawasan-kawasan mempunyai kehadiran buaya dan papan tanda amaran kehadiran buaya diletakkan di kawasan strategik,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast