mahsuri food
Roslan Mahayuddin (tengah) bersama Aminuddin Harun (kanan) pada sidang media selepas perasmian majlis pecah tanah tapak kilang Mahsuri Food di Bandar Baru Enstek, Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Kilang baharu milik Mahsuri Food Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Bandar Teknologi 2, Bandar Baru Enstek, dekat sini, diyakini berupaya membantu syarikat tersebut menembusi pasaran global termasuk di Amerika Syarikat.

Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri Food, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, pihaknya menyasarkan untuk mencapai matlamat tersebut dalam masa empat hingga lima tahun lagi.

“Antara perkara yang perlu dilakukan adalah menyesuaikan produk dengan citarasa pelanggan di sana,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah tapak kilang berkenaan, hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohd Roslan memberitahu, kilang tersebut bakal dilengkapkapkan dengan mesin Rotary-type Koji Making sekali gus menjadikan syarikat pertama yang menggunakan teknologi canggih itu di rantau ASEAN.

Menurut beliau, kilang yang dijangka siap dibina pada 2025 itu dibangunkan dengan nilai pelaburan sebanyak RM250 juta.

Mohd Roslan menambah, dengan keluasan sebesar 24,000 meter persegi, tapak baharu itu akan membolehkan Mahsuri Food meningkatkan kapasiti pengeluarannya serta menyediakan produk halal berkualiti tinggi untuk para pelanggan.

“Kami percaya bahawa dengan adanya kilang ini, bukan sahaja dapat kami tingkatkan jenama Mahsuri di Malaysia, malah menjadi tumpuan di peringkat global,” jelasnya.

Beliau berkata, kilang tersebut juga mempunyai tempat pembuatan, gudang, makmal jaminan kualiti, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), pejabat serta kemudahan sosial.

Mohd Roslan berkata, bagi melaksanakan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Mahsuri Food juga akan mendirikan kemudahan yang sesuai untuk meningkatkan penjimatan sumber serta menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui agar dapat meminimumkan penggunaan tenaga konvensional.

“Oleh itu, Mahsuri Food berhasrat untuk mencapai pensijilan Kepimpinan dalam Reka Bentuk Tenaga dan Persekitaran (LEED) atau yang mana kilang ini dapat berfungsi dengan efisien, penjimatan kos serta baik untuk alam sekitar.

“Untuk pengetahuan semua, pensijilan LEED ini adalah daripada bertaraf antarabangsa yang dikeluarkan oleh Majlis Bangunan Hijau Amerika Syarikat (USGBC),” jelasnya.

Mohd Roslan berkata, pensijilan itu diiktiraf di seluruh dunia dan merupakan penanda aras kepada kelestarian sesebuah bangunan. – MalaysiaGazette