KUALA LUMPUR – Komposer dan penyanyi terkenal India, Shankar Mahadevan yang tiba ke Malaysia semalam untuk konsert sulungnya ‘Music Fest with Shankar Mahadevan’ begitu teruja dengan negara ini.
Malah pemuzik hebat itu berharap untuk menghasilkan sebuah lagi lagu dalam bahasa Malaysia bersama artis tempatan dalam masa terdekat.
Dalam satu temuramah dengan media Malaysia, Nambikkai Online bersama hos S Dhayalan, Shankar berkata, beliau cukup tertarik dengan bahasa rasmi negara ini.
“Sejurus selepas sampai ke sini, saya melihat pelbagai perkara menarik di sini, tidak terungkap dengan kata-kata. Peminat di sini, makanan, permandangan, bahasa. Segala-galanya telah buat saya jatuh hati.
“Saya berbincang dengan kumpulan saya untuk hasilkan sebuah lagu dalam bahasa Malaysia. Pastinya menarik pengalaman itu. Saya mahu bekerjasama dengan artis Melayu dan hasilkan sebuah lagu khas untuk peminat di sini,” katanya.
Lebih menarik lagi apabila artis itu juga memberitahu sedang merancang untuk membuka ‘Akademi Muzik Shankar Mahadevan’ yang dipelopori olehnya bagi mengasah bakat-bakat baharu di negara ini kelak.
“Pada mulanya akademi ini atas talian, kami mula dengan 15 pelajar tapi selepas 11 tahun kita kini sudah berada di 90 buah negara.
“Inilah satu-satunya akademi yang beroperasi 24 hari, 365 hari saban tahun. Kini setelah ianya berkembang dengan baik dan mendapat sambutan hebat, kita mula membuka pusat muzik secara fizikal di beberapa tempat di India seperti Bangalore, Puna. Kita juga akan bukanya di Dubai dan beberapa buah lagi.
“Pastinya Malaysia juga antara sasaran, saya begitu teruja jika Akademi Shankar Mahadevan dapat dibuka di sini dalam masa terdekat. Di sini kita ada ramai sangat peminat lagu-lagu kita, yang menyanyi juga ramai. Saya amat berminat dan saya benar-benar maksudkannya,” ujarnya.
Ketika ditanya apakah antara ‘hadiah’ menanti para peminatnya dalam ‘Music Fest with Shankar Mahadevan’ anjuran My Events International di Mega Star Arena Kuala Lumpur Sabtu ini, kata beliau, persembahannya akan melangkaui masa lebih tiga jam dengan menyanyikan semua lagu popular sepanjang zaman.
“Saya juga telah terbangkan bakat-bakat Super Singers bersama saya untuk menyanyi, semua mereka berbakat.
“Antaranya seperti Sivangi, Sam Vishal, Barath dan banyak lagi. Tidak dilupakan hos, Ma Ka Pa Anand, seluruh pasukan di sini untuk hiburkan anda semua. Saya janji untuk satu persembahan ‘magikal’ muzik Tamil buat anda sekelian,” ujarnya. -MalaysiaGazette