Permainan mobile Empayar: The Melaka Chronicles.

KUALA LUMPUR – Studio Kembara Sdn. Bhd. kini rancak mengukuhkan kedudukannya selepas melakar kejayaan menerusi penerbitan filem Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan dengan kutipan RM97 juta.

Terbaharu, syarikat bumiputera itu menerokai bidang industri permainan digital dan realiti maya apabila menjalin kerjasama dengan penggerak industri digital kreatif Univrse Interactive Sdn. Bhd. dan Beyond4 Sdn.Bhd.

Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mat Dali berkata, pihaknya sanggup melabur lebih RM1.3 juta bagi tujuan pembangunan dan penghasilan permainan digital mulai tahun ini dengan penghasilan permainan mobile terbaharu, Empayar: The Melaka Chronicles dan aplikasi HajjVerse.ai.

“Kami berhasrat menghasilkan produk hiburan bermanfaat dalam bentuk permainan digital seperti memperkenal mainan bersandarkan budaya serta seni mempertahan diri tradisional melibatkan penggunaan senjata-senjata Melayu seperti keris, kerambit, sundang dan sebagainya yang ramai masih tidak tahu kewujudannya.

“Matlamat kami adalah untuk memupuk golongan muda agar mereka mengenali, mempelajari dan seterusnya meminati ilmu silat di samping mendidik mereka tentang tata cara adat Melayu,” katanya.

Abdul Rahman menambah, perjanjian yang dimeterai merupakan permulaan usaha Studio Kembara dan Univrse Interactive untuk menghasilkan produk hiburan bermanfaat dalam bentuk permainan digital yang menjadi kegemaran anak-anak muda terkini.

“Kami yakin terdapat potensi besar dalam bidang ini memandangkan jutaan kanak-kanak menggunakan permainan digital dan memerlukan permainan yang berkonsep hiburan bermanfaat.

“Perisian permainan ini akan diperluaskan secara global dan secara tidak langsung menarik minat orang luar mengenali bangsa Melayu dan mengangkat tokoh-tokoh persilatan negara,” katanya yang kagum dengan idea kreatif daripada pasukan anak muda Univrse.

Studio Kembara Sdn. Bhd. kini menerokai bidang industri permainan digital dan ‘virtual realiti’.

Abdul Rahmah juga yakin pihak Univrse Interactive mampu melaksanakan visi Studio Kembara apatah lagi terbukti kejayaan pasukan tersebut sebagai syarikat yang tersenarai pendek antara 15 teratas dari 600 syarikat pemula (start-up).

Kata belua, pihaknya juga edang melalui fasa kedua ‘My Startup Pre Accelerator Programme’ dan memenangi tempat ketiga di Hong Leong Bank Hackaton tahun 2022.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Univrse Interactive, Mohd Hezri Amir Abd Latiff berkata, pihaknya berdedikasi untuk menyediakan penyelesaian realiti maya terkini dengan fokus kepada meningkatkan kehidupan masyarakat melalui teknologi maklumat, kreativiti dan inovasi.

Jelas beliau, platform Metaverse mereka mampu menawarkan pelbagai ciri-ciri canggih yang direka khusus untuk mencipta pengalaman yang mendalam dan mengasyikkan untuk pengguna di seluruh dunia.

“Aplikasi HajjVerse.ai akan memberi pengalaman haji maya canggih yang dikuasai oleh AI di mana tetamu dapat melangkah ke dunia simulasi di mana anda boleh meneroka visualisasi 3D Makkah, mempelajari ritual haji, dan menerima bimbingan
masa nyata dari Mutawif dikuasai AI.

“Dengan HajjVerse.ai, bakal haji dan umrah boleh memulakan perjalanan transformasi, berhubung dengan jemaah haji maya lain, dan merasai kesatuan umat Islam seluruh dunia.

“Untuk permainan mobil terbaru, Empayar: The Melaka Chronicles, ia dibangunkan bersama Studio Kembara, Empayar untuk membawa pemain ke dalam perjalanan melalui dunia fantastik, di mana mereka dapat meneroka alam baru, berperang dengan musuh yang ganas dan membuka kuasa ajaib,” jelas Hezri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast