KUALA LUMPUR – Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang menjadikan Dewan Merdeka sebagai lokasi utama membuktikan UMNO kini bukan lagi parti keramat buat orang Melayu.
Ketua Penerangan Pemuda Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, UMNO sanggup berkompromi malah mengalu-alukan bekas seteru politiknya menjejakkan kaki ke ‘rumah suci’ parti itu.
“Malah mereka juga adalah parti yang boleh tunduk kepada pihak lain dan hak dan kepentingan orang Melayu boleh dikompromi kepada pihak lain.
“Ahli-ahli UMNO langsung tidak boleh melawan presidennya yang bebas membawa UMNO bersama Pakatan Harapan (PH) dan melawan perjuangan asal penubuhannya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Aleef yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang meramalkan orang Melayu bakal menolak UMNO secara besar-besaran dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Tambahan pula, orang Melayu sudah ada alternatif lain bagi mereka memperjuangkan hak dan kepentingan mereka,” katanya.
Aleef mendakwa pemimpin UMNO bebas mempergunakan parti untuk terus menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PH menerajui kerajaan.
“Ahli UMNO langsung tidak sedar sebenarnya mereka diperbodoh dan misi pemimpinya semata-mata untuk mendapatkan bantuan Anwar bagi melepaskan diri daripada kes mahkamahnya dengan mempergunakan UMNO hinggakan melawan prinsip asalnya.
“UMNO telah melawan arus dan bukan lagi parti yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu.
“Malah UMNO telah menjadi seperti PKR dan Amanah yang boleh menyokong kesamarataan kaum di negara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Udah2 la hang.. dh jadi yb tu bt keje yb.. jgn mkn gaji buta asyik berpolitik shj.. dun melaka perlukan pembangkang yang membina bukan pembangang yg hina.