Sabariah Salleh

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil masa lebih dua tahun untuk menyiapkan modul dakwah untuk disebarluaskan kepada masyarakat umum di negeri ini.

Usaha kerja itu dirangka dan disiapkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Modul Dakwah JAIS melibatkan gabungan 30 ahli panel yang terdiri daripada pakar profesional, NGO, ahli akademik, pendidik dan orang perseorangan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIS, Sabariah Salleh berkata, Pejabat Agama Negeri, Pejabat Mufti dan Lembaga Zakat Selangor selain kerajaan negeri juga terlibat.

Katanya, jawatankuasa itu ditubuhkan pada 2020 Pelan Strategik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bertujuan menghimpun, membangun dan memfokuskan program sesuai untuk dilaksanakan kepada golongan sasar.

“Kita tahu tanggungjawab ini memang sangat besar, mencabar, memerlukan banyak ilmu, sokongan dan dokongan di kalangan NGO, orang perseorangan serta bahagian tadbir hal ehwal agama.

“Namun, tahun awal penubuhan jawatankuasa ini pada 2020 sebanyak dua kali pertemuan dan perbincangan diadakan, kemudian 2021 sambung semula secara atas talian kerana berlaku pandemik Covid-19.

“Perjumpaan dan perbincangan secara fizikal mahupun atas talian ini adalah untuk menghasilkan 47 sub modul termasuk melibat muslim dan bukan muslim yang dicadangkan sesuai untuk rujukan dan terjemahkan kepada masyarakat mengikut golongan sasar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian merasmikan Modul-Modul Dakwah JAIS di Auditorium Dahlia Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Ucapannya sebagai mewakili Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shah.

Menurut Sabariah, dengan 47 modul di bawah itqan MAIS, pihaknya telah serasikan dengan sebagai Pemacu yang di dalamnya terkandung Pelan Strategik JAIS 2020-2024.

Kata beliau, dalam Pemacu itu pula mengandungi Modul Pengkaderan Dakwah dan Non-Muslim, Modul Islam dan Dakwah serta Modul Dakwah Umum yang menumpukan kepada golongan sasar iaitu masyarakat umum.

“Dalam keadaan ini juga, kita sediakan Modul Perkaderan Dakwah JAIS yang melibatkan anggota jabatan itu dan masyarakat luar serta Modul Pengukuhan Pendakwah yang bertindak mengawal golongan sasar sama ada penuntut universiti, sekolah atau masyarakat persekitaran.

“Antara objektif pembinaan modul ini adalah untuk melahirkan masyarakat Islam yang pastinya perlukan kepada perpaduan, kesatuan, saling hormat menghormati, kefahaman Islam yang mantap dalam bab akidah, syariah dan akhlak.

“Selain itu, hendak membina satu jaringan, hubungan bagi tujuan membina generasi Islam yang bersifat Rabbani dan membangun potensi modal insan secara seimbang dan bertepatan dengan syariat,” ujar beliau.

Katanya, sudah pasti dalam pembinaan modul ini pakar dan pengalaman yang ada telah dihimpukan serta panel jawatankuasa itu mempunyai tugas dan tanggungjawab bagi tujuan menyemak dan meneliti dari segi pemurniannya.

Kata Sabariah lagi, ahli panel terdiri daripada pakar agama dan bukan dalam bidang agama, tetapi mempunyai kepakaran dalam bidang ilmunya bagi merangka dan menentukan dengan harapan mekanisme pelaksanaan nanti dipelbagaikan mengikut kehendak yang seimbang dan mengikut keadaan semasa yang bersesuaian.

“Modul ini dijadikan sebagai panduan dengan harapan mekanisme pelaksanaannya lebih mampan lagi untuk membantu masyarakat.

“Saya harap mereka dapat sebarluaskan maklumat ini kepada golongan sasar, manakala Bahagian Dakwah JAIS dan MAIS ada inisiatif ke arah merangka keseragaman yang mungkin sebagai rujukan bagi tujuan membina, membantu masyarakat di luar sana,” katanya. – MalaysiaGazette