KUALA LUMPUR – SS Rover Sdn. Bhd. (SS Rover), penyedia perkhidmatan kenderaan jarak jauh atau Remotely Operated Vehicles (ROV) bawah permukaan air buat pertama kali menjalinkan kerjasama dengan German Malaysian Institute (GMI).
Kerjasama berkenaan dalam usaha menerokai bidang minyak dan gas pada masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Badrulhisham Ab Hapidz berkata, pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) dengan Institusi Pendidikan MARA (IPMA) itu merangkumi aspek perkongsian pengetahuan, kepakaran dan kemudahan untuk mendorong perniagaan dan pertumbuhan bersama antara kedua-dua pihak.
Beliau berkata, objektif MoA juga bukan sahaja melibatkan sahaja penempatan latihan kepada pelajar sebaliknya memberi jaminan kerja sebaik mereka menamatkan pengajian diploma di GMI.
“MoA ini juga akan memudahkan pembangunan profesional dan pembelajaran menerusi perkongsian pengetahuan dan kepakaran di antara dua pihak dalam bidang minyak dan gas.
“Ini kerana SS Rover bukan sahaja memiliki projek-projek bawah air di negara ini malah di luar negara termasuk di Indonesia.
“Justeru kami memerlukan bakat baharu dalam ekosistem ROV bawah air menerusi kerjasama pendidikan yang bermula dengan latihan ROV apabila disediakan penempatan latihan industri (LI).
“Sebaik tamat LI, pelajar akan ditawarkan jaminan kerja di mana kerjasama ini akan menguntungkan kedua-dua pihak dengan menggalakkan pertumbuhan dan kemajuan teknologi dan pendidikan ROV serta aplikasi pengetahuan yang berkaitan dalam pasaran kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis memeterai MoA di Bangi semalam yang turut dihadiri Pengarah Urusan GMI, Prof. Ir. Dr. Azmi Hassan.
Turut hadir, Penasihat Korporat SS Rover, Safrina Zainal Abidin.
Sementara itu, Azmi memberitahu, graduan GMI sentiasa mendapat permintaan di pasaran apabila hampir 100 peratus mereka ditawarkan pekerjaan sebaik tamat pengajian.
Beliau berkata, keperluan industri ketika ini mengkehendaki graduan dengan kemahiran berteknologi tinggi yang mendedahkan pelajar GMI dengan Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET).
“Apa yang pelajar pelajari adalah gambaran sebenar keperluan yang dikehendaki oleh industri atau pasaran pekerjaan semasa malah kaedah pembelajaran dan pengajaran di GMI lebih tertumpu pada aspek teknikal bagi memastikan pelajar lebih faham dengan kehendakan atau budaya seterusnya meningkatkan kompetensi mereka.
“Justeru, kami berharap perkongsian dengan SS Rover akan membuahkan hasil untuk semua pihak dan akan menyumbang pertumbuhan bagi kedua-dua syarikat pada masa hadapan,” katanya.
GMI iaitu sebuah pusat latihan berasaskan kemahiran telah ditubuhkan pada 1991 dalam usaha menyediakan latihan praktikal dan teori yang komprehensif serta seimbang.
Institut ini menawarkan pendidikan kejuruteraan, dengan peluang untuk pengkhususan dan pembelajaran serta pembangunan kendiri di mana kebanyakan pelajar lepasan diplomanya akan menyambung pengajian ijazah di Jerman. – MalaysiaGazette