Antara peralatan menyeleweng 25,000 liter minyak diesel yang dirampas KPDN Selangor dalam serbuan menerusi Ops Tiris di sebuah stor di Serdang, Selangor.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 25,000 liter diesel bersubsidi yang dipercayai diseleweng dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dalam serbuan Ops Tiris di sebuah stor tanpa nombor di Serdang, Selangor pada Selasa lalu hingga semalam.

Pengarahnya, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, dalam operasi jam 5 pagi itu dua individu sedang melakukan pemindahan bahan api daripada sebuah lori tangki ke dalam tangki skid yang berada di dalam stor tersebut.

“Tangkapan telah dibuat ke atas kedua-dua lelaki warganegara Malaysia terbabit yang masing-masing berusia 52 tahun dan 43 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan sambil menambah tujuh anggota penguat kuasa KPDN Selangor dalam operasi tersebut.

Menurut Mohd Zuhairi, pihaknya turut menyita sebuah lori tangki berisi bahan api yang disyaki diesel dengan anggaran jumlah 11,000 liter.

Tambah beliau, sitaan juga dibuat ke atas dua unit tangki skid berisi diesel dengan anggaran 10,000 liter dan 4,000 liter bernilai melebihi RM53,000.

“Sitaan turut dilakukan ke atas peralatan yang digunakan semasa aktiviti mengalih bahan api ditemui semasa serbuan. Anggaran nilai keseluruhan sitaan dalam kes ini mencecah RM300,000 dan kesemua yang dirampas disimpan di bawah Stor Penyimpanan Ekshibit KPDN Selangor,” ujarnya.

Menurut Mohd Zuhairi, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan.

Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast