KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd. Azizulhasni Awang kembali mempamerkan kayuhan cemerlang untuk meraih emas dalam acara pecut lelaki pada Piala Berbasikal Trek Antarabangsa Hong Kong hari ini.
Pada perlumbaan berlangsung di Velodrom Hong Kong itu, penguasaan The Pocket Rocketman masih sukar digugat selepas dengan mudah menewaskan pelumba China Kang Shing Feng yang terpaksa berpuas hati meraih kedudukan kedua.
Pada Februari lalu, kurang setahun selepas melakukan pembedahan jantung, jaguh berbasikal trek negara kembali trek apabila merangkul pingat perak pada Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Jakarta, Indonesia.
Seorang lagi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam pada itu berjaya meraih pingat gangsa selepas menewaskan pelumba Korea Selatan Kang Seojun dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.
Sementara itu, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mengiringi kejayaan kedua-dua pelumba negara tersebut, dengan turut mengungguli emas bagi acara pecut bagi kategori wanita.
Pelumba berusia 20 tahun itu, lebih mendominasi saingan dan berjaya menewaskan pelumba Korea Selatan, Park Jihae. – MalaysiaGazette