Bekas Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke mahkamah bagi pada perbicaraan atas empat tuduhan guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu dan dua tuduhan terima wang hasil aktiviti haram RM195 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 26 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini memutuskan 4 Ogos 2023 sebagai sebutan semula kes membabitkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hakim, Azurah Alwi membuat keputusan tersebut selepas mendengar permohonan daripada pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri berkenaan sebentar tadi.

Prosiding hari ini melibatkan pemindahan tiga pertuduhan ke Mahkamah Sesyen 9 yang mana dua daripdanya sebelum ini membabitkan pengubahan wang haram RM195 juta yang dibacakan di Mahkamah Sesyen 14.

Manakala satu lagi yang dipindahkan ke mahkamah yang sama adalah membabitkan penerimaan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta yang sebelum ini dibacakan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Ahli Parlimen Pagoh itu mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya seperti sebelum ini.

Dalam masa yang sama, peguam pemimpin PN itu, Datuk Hisyam Teh Poh berkata mahkamah hari ini dimaklumkan bahawa pasukan pendakwaan mengemukakan permohonan agar perbicaraan ketujuh-tujuh kes dilakukan secara serentak.

“Kami membuat permohonan untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi dan dan semua pertuduhan dibacakan serentak, jadi pada masa itu akan kita ketahui keputusan, termasuk urusan ornyerahan semua dokumen,” katanya kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah hari ini.

Untuk rekod, Muhyiddin berhadapan dengan tujuh pertuduhan.

Empat daripadanya membabitkan salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta.

Berdasarkan pertuduhan, Muhyiddin sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Presiden Bersatu menggunakan kedudukan untuk suapan iaitu wang RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta dan RM12 juta untuk partinya daripada tiga syarikat serta seorang individu.

Lagi satu pertuduhan melibatkan penerimaan hasil aktiviti haram sebanyak RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun AmBank milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).- MalaysiaGazette