KUALA LUMPUR – Seramai 250 individu terdiri daripada ahli ilmuwan, golongan profesional dan asatizah dipilih sebagai Du’at Al-Falah iaitu sebuah gabungan pendakwah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, Du’at Al-Falah berperanan membawa pendekatan kesederhanaan dan berpegang teguh dengan asas akidah ahli sunnah wal jamaah yang sebenar.

Beliau berkata, gabungan itu juga membimbing kefahaman masyarakat tentang teras-teras pembinaan Malaysia Madani berpandukan dengan enam teras Malaysia Madani sebagai asas diskusi.

“Enam asas itu termasuk kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

“Objektif Du’at Al-Falah adalah bagi melahirkan Du’at yang sentiasa mendidik masyarakat setempat dan komuniti dengan enam nilai teras Malaysia Madani.

“Mereka juga berperanan mewujudkan ejen dakwah yang membawa pendekatan sederhana dan pemikiran bertamadun dalam proses perubahan (islah) dan menegak keadilan sosial di Malaysia,” katanya ketika melancarkan Seminar Pembimbing Malaysia Madani di Putrajaya hari ini.

Mohd. Na’im menambah, Du’at Al-Falah ini bertindak sebagai pembentuk watak du’at selaras dengan nilai wasatiyah, hikmah, rahmah, matang dan cerdas.

Beliau berkata, Du’at Al-Falah ini dipilih dalam kalangan pendakwah yang telah dikenalpasti menerusi pengesyoran oleh institusi dan organisasi dakwah berasaskan tiga kategori Du’at Komuniti, Du’at Akademia dan Du’at Belia.

Menurutnya, program ini adalah salah satu usaha membentuk komuniti pendakwah yang soleh dan musleh serta ikon pendakwah.

“Mereka akan mengangkat nilai akhlak jua prinsip keagamaan yang menghormati nilai kemanusiaan (insaniyah) dan menolak segala bentuk kekerasan (ghuluw) dalam beragama,” katanya.

Mohd. Na’im memberitahu, para Du’at al-Falah akan menjadi pembimbing masyarakat bagi meningkatkan kualiti ilmu pengetahuan Islam yang sebenar dan menerapkan nilai-nilai unggul Malaysia Madani dalam komuniti. – MalaysiaGazette