IPOH – Kepesatan media sosial sehingga melahirkan ramai ‘wartawan segera’ menjadi satu kebimbangan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berpandangan, ia memberi ruang berita disebar begitu pantas, sekali gus ada potensi kesalahan fakta.
“Kita lihat ada ‘wartawan segera’ muncul seperti cendawan selepas hujan. Sampai satu tahap, media konvensional macam surat khabar dilihat akan menemui jalan mati.
“Sektor media bukan hanya bergantung kepada pantasnya berita disebarkan tapi bagaimana ia bawa nilai kebenaran. Itulah juga prinsip kewartawan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023, di sini, hari ini.
Jelasnya, hari ini banyak syarikat media di seluruh dunia berlumba-lumba beralih ke platform digital.
Namun katanya, dalam berdepan peralihan itu, jualan akhbar dilihat masih bertahan sehingga ke hari ini dan ia satu isu yang menarik untuk dikupaskan.
Dalam pada itu, Saarani juga memandang wartawan sebagai satu suara yang besar dalam memastikan semak dan imbang terhadap sebarang keputusan kerajaan.
“Media adalah medium melontar pandangan serta idea bernas supaya ada tambah baik dalam urusan pentadbiran.
“Saya percaya, kerajaan yang baik adalah kerajaan yang mendengar pandangan serta teguran membina,” ujarnya. – MalaysiaGazette