Penghantar makanan e-hailing menghantar pesanan pelanggan untuk berbuka sempena bulan ramadan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sunway Putra, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 APRIL 2021.

BAGAN DATUK – Kerajaan merancang mewujudkan akta bagi menjamin keselamatan sosial kepada golongan pekerja ekonomi gig membabitkan pekerja e-hailing, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, beliau telah berbincang dengan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar supaya penggubalan akta berkenaan diperhalusi bagi memenuhi keperluan dan kepuasan pihak majikan serta pekerja.

Beliau berkata, perkara itu akan mengambil masa agak panjang kerana ia melibatkan Jabatan Peguam Negara, input daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan yang terlibat dengan industri e-hailing.

“Jika ada akta ini pun, saya fikir ia mesti memuaskan hati semua pihak. Yang penting, asasnya ialah jaminan masa depan mereka,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) 2023 Negeri Perak di Hutan Melintang, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perancangan kerajaan mewujudkan akta berkenaan berdasarkan kepada ucapan perasmian yang menyatakan beliau telah meminta Sivakumar untuk merancang satu akta khas melibatkan pekerja e-hailing. – Bernama