Upah menggali kubur sahaja sudah mencecah RM500 hingga RM550 yang terpaksa ditanggung waris si mati.

NAK ceritanya, dalam tempoh dua setengah tahun ni Bawah Kolong (BK) berdepan dengan kehilangan lima orang tersayang. Ayah, ibu, anak, cucu dan ipar. Mereka pergi buat selama-lamanya. Setiap yang hidup pasti akan mati. Al-Fatihah.

Dalam episod ini BK bukan nak cerita pasal kehilangan ahli keluarga atau kesedihan, tetapi ada beberapa perkara yang boleh diambil iktibar oleh pihak berkenaan berhubung kait dengan kematian. Perasaan yang ditanggung oleh ahli keluarga si mati.

Apa yang BK nak panjangkan di sini berkaitan dengan khairat kematian atau wang sedekah atau derma atau sumbangan ikhlas pada kadar tertentu yang diberikan kepada waris si mati.

Perkara ini tidak dirasai pada orang kaya, tetapi cukup terkesan kepada golongan miskin tegar, B40 dan kurang berkemampuan.

Bayangkan, jika ada kematian ahli keluarga, wang segera yang diperlukan ditanggung ada yang melebihi RM1,000 dan ada yang mencecah RM2,000.

Wang ini perlu dikeluarkan dari poket waris si mati, sebelum sumbangan diterima daripada masjid, surau atau orang ramai.

Antara kos yang diperlukan segera ialah mandi jenazah, peralatan mengkafan dan upah menggali kubur.

BK sendiri mengalami perkara ini sebanyak lima kali melibatkan lima kematian ahli keluarga sepanjang tempoh dua tahun ini dan memang dugaan untuk mengeluarkan sejumlah wang bagi urusan pengebumian.

BK kata begitu kerana untuk upah mandi jenazah sekurang-kurangnya RM300, upah menggali kubur sekitar RM500 hingga RM550, upah solat jenazah sekurang-kurangnya RM10 bagi setiap jemaah dan kos membeli kain kafan dan sebagainya dalam RM300 hingga RM400.

Bagi orang kaya, jumlah itu amatlah sedikit. Tetapi, kepada orang miskin tegar, B40 dan kurang berkemampuan, ia tersangatlah besar.

Itu belum kira upah orang mengaji al-Quran di kubur atau di rumah yang dikenakan RM30 seorang. Belum juga dikira kos makan minum untuk tahlil. Jika si mati ada hutang, ia perlu diselesaikan segera. Namun, bagaimana pula kalau si mati tidak mempunyai simpanan?

Maka, terpaksalah waris terdekat yang menanggungnya. Kalau waris orang berada, tak mengapa. Bagaimana pula kalau waris itu juga tidak mempunyai wang atau simpanan? Ianya cukup menyeksakan.

Bagi yang tidak mendaftar khairat kematian, segala kos pengurusan jenazah ditanggung waris atau ahli keluarga.

Sudahlah waris sedang bersedih dengan kehilangan ahli keluarga tersayang, mereka pula terpaksa bersedih untuk mendapatkan sejumlah wang bagi mengurus si jenazah mati.

Mujurlah belum ada laporan waris tidak dapat kebumikan si mati kerana miskin. Tetapi, secara tersiratnya jika kita mendekati mereka, banyak beban yang ditanggung. Inilah yang dikatakan senyum dalam tangis.

Apabila ditanya kepada waris si mati, tidakkah si mati mempunyai khairat kematian dengan masjid atau surau terdekat? Ada yang kata, mereka sebelum ini dah cuba untuk mendaftar, tetapi tidak diterima.

Alasannya, jumlah yang mendaftar untuk khairat kematian sudah ramai. Ada masjid atau surau hanya buka pendaftaran kepada mereka yang selalu berkunjung ke masjid atau surau sahaja.

Masyarakat sekitar tidak boleh mendaftar sebab jumlah yang dibuka dihadkan kepada mereka yang acap ke masjid atau dengan lain perkataan, untuk ahli jawatankuasa sahaja.

Bagi yang mendaftar khairat kematian, jika meninggal dunia, semua urusan pengebumian ditanggung A sampai Z oleh masjid menerusi wang pendaftaran khairat kematian.

Dari mandi jenazah, dari kafan jenazah, dari solat jenazah hingga jenazah dikebumikan semuanya diurus oleh masjid atau surau. Waris hanya cuci tangan dan terima baki sekiranya ada.

Namun, malangnya kepada yang tidak dapat mendaftar khairat kematian. Segalanya perlu ditanggung sendiri. Ini yang selalu berlaku, tetapi tidak diceritakan kepada dunia luar. Hanya BK merasakan perkara ini perlu dimaklumkan kepada umum.

Sepatutnya, hal kematian ini dipermudahkan oleh pihak berkenaan, bukan menjadi payah sehingga menakutkan waris si mati. Sepatutnya waris hanya bersedih dengan kehilangan orang tersayang sahaja, bukan dua kali sedih akibat terpaksa menanggung kos si mati.

Itu pentingnya khairat kematian yang disediakan oleh masjid atau surau. Ia adalah untuk meringankan beban waris, tetapi ada sesetengah tempat, malah boleh dikatakan di semua tempat sebagaimana yang BK dengar, khairat kematian terhad kepada orang tertentu sahaja.

BK sendiri pun, setiap kali balik bercuti di kampung, beberapa kali jumpa pengurusan masjid untuk mendaftar khairat kematian, tetapi ditolak dengan cara baik. Begitu juga BK cuba daftar ditempat BK menjadi perantau, tetap ditolak dengan alasan BK bukan anak tempatan atau anak mukim.

Jadi, BK sudah awal-awal buka tabung untuk suatu hari nanti ahli keluarga BK tidak perlu fikir nak cari duit di mana untuk urus jenazah BK. BK sudah ada tabung dan anak-anak boleh gunakan wang tabung itu tanpa mengharapkan sumbangan masjid atau surau atau orang ramai.

Sewajarnyalah, pada BK ada baiknya kerajaan negeri mengambil berat masalah ini. Sediakan sejumlah peruntukan kepada masjid dan surau untuk urusan mengurus jenazah kariah terutama di kalangan keluarga miskin tegar dan B40 di sesebuah mukim.

Tidak dinafikan memang ada kerajaan negeri sediakan peruntukan itu, tetapi ia sekadar uar-uar sahaja, peruntukan itu tidak sampai ke masjid atau surau. Yang sering didengari ialah waris tanggung sendiri.

Kerajaan atau pihak berwajib perlu mengambil serius perkara seperti ini. Si mati sudah mati, arwah tidak menanggung apa-apa lagi. Yang menanggung atas kematiannya ialah waris.

Oleh itu, kerajaan perlu fikir atau cari jalan bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini. Ada kerajaan negeri, sebelum ini buat kenyataan akan bagi RM1,500 atau RM2,000 sebagai khairat kematian kepada waris.

Malangnya, duit yang sampai ke tangan waris ada yang berjumlah RM300, ada yang berjumlah RM500. Selebihnya? Senyap begitu sahaja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast