Foto Sporting News.

LONDON – Kisah dongeng Leicester City yang menjulang Liga Perdana Inggeris (EPL) tujuh tahun lalu hanya tinggal sejarah selepas tersingkir daripada liga dan akan beraksi di Liga Kejuaraan musim depan.

Leicester terpaksa akur kembali ke liga nombor dua itu walaupun menang 2-1 ke atas West Ham.

Mengiring kelab itu, Leeds yang juga akan kembali ke Liga Kejuaraan selepas tiga musim di Liga Perdana apabila tewas 1-4 kepada Tottenham.

Bagaimanapun tuah menyelebahi Everton apabila kekal bersaing dalam liga tertinggi Inggeris sejak 69 tahun selepas menewaskan Bournemouth 1-0.

Abdoulaye Doucoure muncul wira Everton selepas pemain tengah Mali itu meledak gol pada minit ke-57 aksi di Goodison Park.

Sementara itu, Spurs gagal layak ke Liga Konferens Eropah musim depan selepas Aston Villa menewaskan Brighton 2-1 untuk mengesahkan kedudukan di tangga ketujuh.

Manchester City yang sudah bergelar juara akhirnya tewas buat kali pertama selepas 25 perlawanan apabila Brentford menewaskan anak buah Pep Guardiola 1-0.

Arsenal pula menebus kekecewaan terlepas gelaran Liga Perdana Inggeris dengan menewaskan Wolves 5-0.

Manchester United mengesahkan kedudukan di tangga ketiga dengan kemenangan 2-1 ke atas Fulham, manakala Newcastle diikat 1-1 oleh Chelsea untuk kekal di tangga keempat.

Southampton yang sudah tersingkir mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Perdana Inggeris dengan mengikat Liverpool 4-4 di St Mary’s. – MalaysiaGazette