ANKARA – Pengerusi Majlis Pilihan Raya Tertinggi Turki mengisytiharkan penyandang Recep Tayyip Erdogan sebagai presiden untuk lima tahun lagi.

Ahmet Yener berkata, Erodgan dipilih semula sebagai presiden Türkiye mengikut keputusan awal.

Erdogan memenangi 52.14 peratus undi dalam pemilihan presiden menentang pesaingnya Kemal Kilicdaroglu, yang memperoleh 47.86 peratus undi.

Beliau menambah, sebanyak 196,744 peti undi atau 99.43 peratus daripada kesemuanya telah dibuka.

Pada pusingan pertama pemilihan presiden pada 14 Mei, Erdogan memperoleh 49.52 peratus undi manakala Kilicdaroglu menerima 44.88 peratus.

Kedua-duanya tidak memperoleh lebih daripada 50 peratus undi yang diperlukan untuk memanggil pemenang pada pusingan pertama, oleh itu pusingan kedua pilihan raya diadakan buat kali pertama untuk jawatan presiden.

Calon tempat ketiga, ahli politik nasionalis Sinan Ogan, dengan 5.17 peratus undi, mengumumkan sokongannya terhadap Erdogan dalam pusingan kedua.

Untuk pusingan kedua hanya dua calon yang paling disokong dapat meneruskan persaingan.

Erdogan yang mewakili Perikatan Rakyat, terdiri daripada Parti Keadilan dan Pembangunan yang memerintah dan Parti Gerakan Nasionalis, memperoleh majoriti 323 kerusi dalam parlimen 600 kerusi dalam Pilihan Raya Parlimen, manakala enam parti pembangkang blok Nation Alliance menerima 212 kerusi.

Pilihan raya berkembar itu menyaksikan peratusan keluar mengundi yang tinggi pada 86.98 peratus, dengan hampir 54 juta rakyat keluar mengundi.

Erdogan, yang memimpin negara itu sejak menjadi perdana menteri pada 2003, menjadi presiden pertama Türkiye pada 2018 berikutan referendum perlembagaan pada 2017 yang mengubah sistem parlimen Türkiye kepada sistem presiden.

Di bawah kepimpinannya, Türkiye telah meningkatkan kehadirannya dalam hal ehwal serantau walaupun terdapat perselisihan dengan Amerika Syarikat dan sekutu Barat lain dalam isu-isu seperti konflik Syria dan hubungan rapat dengan Rusia.

Kemenangan Erdogan berlaku di tengah-tengah masalah ekonomi semasa negara dan krisis kos sara hidup.

Mata wang Lira Turki menyusut ira-kira 80 peratus daripada nilainya berbanding dolar Amerika Syarikat dalam tempoh lima tahun dan kadar inflasi adalah sekitar 50 peratus.

Erdogan adalah penyokong dasar ekonomi yang luar biasa iaitu menurunkan kadar faedah walaupun inflasi tinggi.

Krisis itu diburukkan lagi dengan gempa bumi yang dahsyat pada awal Februari di selatan Türkiye, yang mengorbankan lebih 50,000 orang dan menyebabkan puluhan ribu orang kehilangan tempat tinggal.

Erdogan menjanjikan “abad Turki” baharu jika beliau dipilih semula. Beliau juga menegaskan jawatan presiden sebagai keperluan untuk keharmonian dalam kalangan institusi negeri dan kestabilan dalam negara kerana pakatannya memegang majoriti di Parlimen. – Agensi