KUALA LUMPUR – Penganjur Star Vendors yang juga selebriti sensasi, Ifa Raziah sebenarnya lebih awal melakukan tarian gelek goyangan punggung bersama usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri.
Jelas selebriti berusia 47 tahun itu, aksi sedemikian hanyalah untuk pemasaran selain sekadar hiburan.
Bagaimanapun Ifa atau nama lengkapnya Saripah Raziah Mustapha hairan kerana banyak videonya yang mendidik netizen tidak mendapat perhatian di media sosial.
Baru-baru ini, video yang dimuat naik Ifa di Instagram dan TikTok memaparkan dia bersama Aliff sedang bergelek sambil menggoyangkan punggung.
Aksi itu telah menerima kecaman netizen dan rata-ratanya meluahkan rasa kesal dengan perangai mereka yang dilabel sebagai tidak sedar diri.
Sebelum ini, Ifa pernah dikecam kerana bergelek bersama beberapa artis lain dalam sebuah kenduri akikah yang dianggap mencemarkan kesucian majlis tersebut.
Hari ini, Pergerakan Pemuda UMNO mendesak penganjur Star Vendors memohon maaf berhubung kejadian aksi gelek lucah yang berlaku ketika penganjuran festival itu di Melaka selama tiga hari bermula Jumaat lalu.
Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, penganjur juga perlu bertanggungjawab dengan tindakan yang melampau dan tidak menjaga sensitiviti masyarakat negeri Melaka.
“Aktiviti murahan seperti ini tidak diperlukan dan perlu ditentang dan pihak penganjur Star Vendors di MITC perlu bertanggungjawab dengan tindakan yang melampau dan tidak menjaga sensitiviti masyarakat.
“Kami mendesak agar permohonan maaf dari pihak penganjur dan mereka perlu diharamkan untuk mengadakan sebarang anjuran acara di dalam negeri Melaka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sejak semalam, tular di laman sosial video berdurasi hampir dua minit aksi gelek menayangkan bentuk pinggul oleh pempengaruh, Liana Rosli atau lebih dikenali Kak KM bersama dua individu lain. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: