Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) disahkan maut terbabit dalam kemalangan di hadapan sebuah kilang padi di Sekinchan, Selangor. Foto Ihsan JBPM Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) maut selepas motosikal yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di hadapan sebuah kilang padi di Sekinchan dekat sini hari ini.

Mangsa, Suzali Sueb, 41, dikatakan mempunyai masalah mental maut di lokasi selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, mangsa ditemui mati di tempat kejadian.

Pihaknya menerima pangggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.49 pagi.

Katanya, seramai 14 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan bergegas ke tempat kejadian.

“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hafisham, pasukan bomba yang bertugas di lokasi kejadian turut membersihkan tempat kejadian daripada tumpahan minyak susulan insiden itu. – MalaysiaGazette