Syamudin Salleh diarah membayar denda RM500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh Melaka, hari ini selepas membuat pengakuan bersalah memukul pelanggan sendiri kerana dikatakan menjual lemang mentah bulan lalu.

MELAKA – Peniaga lemang yang sebelum ini tular videonya memukul pelanggan sendiri diarah membayar denda RM500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Syamudin Salleh, 41, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Shamuddin Jaamat, 62, di gerai Lemang Pak Din, Jalan Bukit Beruang dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira pukul 8 malam pada 21 April lalu.

Sabit kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana telah menyesal selain mengakui ketika kejadian dia didorong perasaan marah dengan tindakan provokasi mangsa yang menuduhnya menjual lemang mentah.

Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha bagaimanapun memohon hukuman setimpal dengan alasan mangsa warga emas mengalami kecederaan pada tangannya dan telinga kirinya.

Selepas mendengar rayuan dan hujahan kedua belah pihak, mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh membayar denda RM500 atau penjara dua bulan jika gagal bayar.

MalaysiaGazette pada 23 April lalu melaporkan seorang peniaga ditahan polis selepas disyaki menyerang dan mencederakan seorang pesara tentera yang berang dengan mencampakkan lemang yang dibeli daripada lelaki itu.

Pesara itu dikatakan berbuat demikian kerana lemang yang dibeli masih mentah sebelum video berkenaan tular di media sosial. – MalaysiaGazette