KUANTAN – Ibu mana tidak sayangkan anak, lebih-lebih jika melibatkan akidah mereka sebagai orang Islam.
Nur Aishah Nadhirah Hasboolah, 35, berkata, sebagai seorang ibu dia mahu yang terbaik bagi memastikan akidah Islam anak perempuannya, Maisarah yang bakal menghampiri akil baligh lebih terjaga selain mempunyai akhlak yang baik.
”Saya cuma mahu yang terbaik untuk Maisarah, saya nak akidah Maisarah sebagai orang Islam terus terjaga dan terpelihara.
”Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada datang melawat saya tanya khabar dan sesi kaunseling, keadaan diri saya semakin terkawal berbanding sebelum ini. JKM bagi sokongan moral dan alhamdulillah, kakitangan JKM sangat baik dan memahami.
”Macam mana sekali pun saya serahkan kepada peguam bagi proses selanjutnya ke Mahkamah Persekutuan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Pada 25 Mei 2023, Mahkamah Tinggi Kuantan memerintahkan Nur Maisarah Abullah atau nama kelahirannya, Angelina Marion Rose A/P Roslan diserahkan kepada bapa kandungnya menerusi perintah habeas corpus.
Manakala pada 28 Mei lalu, ibunya telah membuat satu laporan polis berkaitan kes pengabaian terhadap bekas suaminya berketurunan Orang Asli itu di Ibupejabat Polis Daerah Rompin.
Kemudian pada 29 Mei lalu, Mahkamah Majistret Pekan menolak permohonan hak jagaan sementara yang dipohon oleh JKM dan memerintahkan anak itu diserahkan kepada ayahnya berikutan JKM gagal mematuhi kriteria Seksyen 17 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Nur Aishah mengakui rindu dengan telatah anaknya dan tidak menyangka kisah keluarganya mejadi tular dan menolak dakwaan jika dianggap dirinya mahu meraih populariti.
Sebaliknya beliau berharap masyarakat memahami situasi yang berlaku berikutan kisah isu perpisahan mualaf sepertinya yang banyak berlaku tetapi tidak dilaporkan.
Bagaimanapun Aisyah tetap mengambil sikap positif biar pun pelbagai spekulasi dan tohmahan yang dihadapi serta menganggapnya ujian.
ARTIKEL BERKAITAN:
Prosiding kes Maisarah dilakukan di Mahkamah Tinggi Kuantan
Polis panggil tiga saksi beri keterangan kes Maisarah
JKM gagal dapat perintah hak jagaan sementara Maisarah
Maisarah : Ibu mangsa buat laporan polis
Kerajaan Negeri Pahang akan teliti kes Maisarah
Aisyah yang sudah berkahwin lain mengakui suami baharunya, ibunya serta mentua merupakan tonggak kekuatan bagi memperjuangkan hak penjagaan anak kesayangannya.
”Sebagai ibu, saya nak kisah Maiasarah didengari supaya semua tahu anak juga mempunyai hak untuk bersama dengan ibu kandung. Hak anak tetap ada walau pun dia bawah umur nak bersama dengan siapa.
”Kisah ini perlu didengari sebab bukan saya sahaja, mungkin kisah Maisarah tular tapi sebenarnya ramai lagi ibu-ibu adakisah seperti situasi saya.
”Mualaf seperti kami dalam kes ini ramai, apa yang terjadi ini saya tak keseorangan dalam kes ini,” katanya.
Menurut Aisyah, anak perempuannya telah memeluk Islam pada 9 Januari 2020 dengan mengucap syahadah di Pejabat Agama Islam Daerah Rompin dibantu oleh dua pegawai yang bertugas.
Beliau berkata, Maisarah suka cara hidup Islam dan pandai mengaji al-Quran serta berhasrat ingin ke bersamanya.
Sementara itu, ayah Maisarah, Roslan Mohamad, 43, ketika ditemui juga mahu yang terbaik kepada anak kesayangannya.
Beliau tidak mahu anaknya tercicir dalam pendidikan dan sangat terkilan apabila anaknya itu tidak bersekolah selama lapan bulan ketika tinggal bersama ibunya, Aishah.
”Sejak dari lahir saya tidak berpisah dari anak, sehingga dia (Maisarah) tinggal bersama ibunya di Terengganu. Saya menangis rindukan anak.
”Bila anak sudah pulang ke pangkuan keluarga, saya tidak mahu anak saya tercicir pelajaran lagi. Kami sekeluarga sangat sayangkan Angelina (Maisarah).
Menurut Roslan, anaknya itu juga rapat bersama empat lagi anaknya hasil daripada dua perkahwinan terdahulu selain disayangi oleh datuk serta saudara mara lain.
”Orang kampung panggil dia peacock, ibarat burung merak, dia penyeri keluarga kerana manja dengan semua. Saya besarkan anak saya sendiri, ketika berpisah sengan ibunya.
“Saya sendiri ’menyusukan’ dengan ikat getah di dada dengan botol susu semasa Angelina berusia dua tahun setengah lagi sehinggakan dilabel gila oleh orang kampung,” katanya.
Jelas Roslan, beliau tidak sanggup berpisah dengan anak perempuan lagi.
Roslan tidak pernah kisah apa sahaja tanggapan masyarakat terhadapanya susulan video itu tular kerana beliau berharap kepada keadilan menyebelahinya.
”Saya tidak kisah apa mereka (netizen) katakan kerana memang saya jaga anak saya dengan baik, mereka tidak tahu apa sebenarnya apa yang berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette