Kastam Zon Tengah berjaya menumpaskan cubaan seludup masuk dan keluar dadah syabu, ketamin dan heroin bernilai lebih sejuta ringgit menerusi kargo udara antara April hingga Mei lalu di KLIA Sepang.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan cubaan menyeludup pelbagai dadah methaphetamine, ketamin dan heroin seberat 14.6 kilogram (kg) bernilai lebih RM1 juta dengan menggunakan khidmat kurier dan kargo melalui pintu masuk udara negara dalam tiga kes berasingan.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah, Wong Pun Sian berkata, dalam kes pertama, kira-kira jam 1 pagi 14 Mei lalu sepasukan anggota Kastam Bahagian Penguatkuasaan Zon Tengah, Unit III (LTAKL) berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis methamphetamine melalui kargo udara.

“Sebuah parcel (bungkusan) yang beralamat di Johor telah disita di hab syarikat penghantaran ekspres di Kargo KLIA sebelum hasil pemeriksaan penguatkuasa berjaya menjumpai sebanyak 13 bungkusan kecil yang dibalut plastik wrapping mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat kasar 1.07 kg dianggarkan bernilai RM35,178 yang disorokkan di dalam gam silikon.

“Siasatan awal mendapati parcel berkenaan akan dieksport ke Australia manakala maklumat pengirim disyaki telah dipalsukan bagi mengelirukan dan mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh kastam untuk mengesan suspek yang terlibat.

Menurutnya, sindiket berkenaan menggunakan modus operandi dengan menyembunyikan dadah dalam gam silikon dan kemudian dimasukkan ke dalam kotak kasut bagi mengaburi pihak berkuasa.

Dalam kes berasingan, kira-kira jam 12.30 tengah hari 28 April lalu, kastam berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar heroin melalui pemeriksaan ke atas bungkusan di Pos Malaysia International Hub (PMIH) Kargo KLIA, Sepang, Selangor.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan menjumpai sembilan peket pembungkus lutsinar aluminium yang mengandungi heroin dengan berat kasar 4.63 kg dan bernilai RM435,220 yang diletakkan di dalam tin minuman.

Katanya, barangan dari Johor yang diikrarkan sebagai Avocado Multigrain itu akan dieksport ke Australia.

Pun Sian berkata, sindiket berkenaan menggunakan maklumat pengeksport yang
palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan usaha mengesan suspek dipergiatkan.

“Pada 11 April 2023 lebih kurang jam 11.30 pagi, sepasukan anggota kastam juga berjaya menyita satu parcel antarabangsa (inbound) dari negara Pakistan yang mengandungi dadah di premis Pos Malaysia International Hub (PMIH) Kargo KLIA, Sepang.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas parcel tersebut menjumpai sembilan plastik lutsinar yang mengandungi serbuk kristal yang disyaki dadah jenis ketamin dengan anggaran berat kasar 8.894 kg dan anggaran harga pasaran RM533,640.00,” ujarnya.

Menurut Pun Sian, siasatan awal mendapati bungkusan tersebut dikirim ke alamat palsu bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Katanya, ketiga-tiga kes rampasan dadah itu disiasat bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika disabitkan kesalahan, pelaku akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan juga sebatan tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

JKDM Zon Tengah Unit III telah merampas dadah bernilai lebih RM4.9juta yang melibatkan 37 kes melalui perkhidmatan kurier dan kargo udara untuk tempoh antara Januari hingga April tahun ini. – MalaysiaGazette