Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dr Md Nasir Ibrahim bercakap pada sidang media berkenaan penamatan kontraknya sebagai CEO agensi itu di Hotel Barakah, Ampang. Foto FAREEZ FADZIL, 01 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – “Penamatan saya ini bukan kerana salah laku, saya tiada buat apa-apa salah, tiada laporan polis dan tiada laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).”

Itu kata Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Prof Dr Md Nasir Ibrahim.

Beliau hari ini tampil menjelaskan pemecatannya dalam tempoh 24 jam itu tidak melibatkan sebarang kes jenayah atau masalah integriti.

Beliau turut mengakui terkejut dan tertanya-tanya dengan penamatan perkhidmatannya.

“Saya tak menduga (ditamatkan) sebab saya tak pernah dipanggil untuk menerangkan atau menjelaskan satu-satu isu jika ada, atau bela diri atas apa-apa pertuduhan.

“Lebih 30 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam, kebiasaannya penamatan notis 24 jam ini melibatkan kes jenayah atau integriti.

“Saya tertanya-tanya juga kenapa kontrak ditamatkan sedangkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil tidak memaklumkan apa-apa sebab,” dakwanya.

Md Nasir mengadakan sidang media hari ini bagi membersihkan namanya dan menyangkal sebarang tohmahan yang dilemparkan terhadapnya.

“Saya nak bersihkan nama saya, saya tak nak orang tertanya-tanya kenapa saya dipecat dengan notis 24 jam. Penamatan saya ini bukan kerana salah laku saya.

“Saya bersih, sepatutnya saya diberi peluang memberi penjelasan. Saya rasa seperti dizalimi, saya nak orang faham pemecatan saya ni atas budi bicara menteri,” katanya lagi.

Beliau yang merupakan bapa kepada pelakon Anzalna dan Afifah Md Nasir itu tidak menolak kemungkinan wujud kronisme dalam pentadbiran FINAS yang didakwa antara punca pemecatannya.

“Memang ia (unsur kroni) wujud dalam mana-mana organisasi.

“Mungkin ada teguran yang saya berikan kepada kakitangan menyebabkan ada pihak kurang senang tetapi, saya tegur demi kebaikan bersama,

“Saya berharap untuk masa-masa akan datang, janganlah mendengar sebelah pihak, kena adil.  Jangan tiba-tiba buat keputusan yang dianggap tidak adil dan pihak menjadi mangsa mungkin tidak bersalah,” katanya.

Terdahulu, FINAS dalam satu kenyataan memaklumkan kontrak Md. Nasir ditamatkan hari ini dan keputusan itu diambil selepas melihat kepada keperluan badan itu melakukan penstrukturan semula ke atas dasar, program dan aktiviti kreatif bagi menghasilkan filem tempatan yang berkualiti.

Kenyataan itu juga memaklumkan, dalam tempoh interim, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) FINAS, Rozita Waty Ridzuan menjalankan tugas CEO berkuat kuasa hari ini hingga jawatan berkenaan diisi secara rasmi.

Sebelum ini, kementerian  mengumumkan perlantikan beliau sebagai CEO Finas bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 31 Oktober 2021 hingga 20 Oktober 2023 menggantikan Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang mengakhiri tugas 15 Oktober 2021. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. ello Mat… masa perlantikan dulu pun KAU kata terkejut dan masa dibuang pun KAU kata TERKEJUT. semua ayat kau guna terkejut terkejut. apa punya CEO la… ANWAR IBRAHIM mana ada guna “orangnya” bukti belum ada penama genuine… ok la tu.. jangan kau pergi kahwin lagi dah nanti bini kau lak terkejut. hehehehe hadap je la rejim tu. Sayonara goodbye Zahid Hamidi

  2. Finas bertanggungjawab memastikan pawagam² tidak cuba² termakan hasutan walaun² supaya Anwar: The Untold Story menjadi Anwar: The Unsold Story!

Comments are closed.