Rodney Celvin meledak gol ketika menentang Sri Pahang. - Foto FB Kedah Darul Aman FC

KUALA LUMPUR – Pertahanan Kedah Darul Aman FC, Rodney Celvin waspada kelicikan bekas rakan sepasukan, Baddrol Bakhtiar yang pastinya tidak akan memberi laluan mudah apabila Sabah FC berkunjung ke Stadium Darul Aman bagi aksi Liga Super malam ini.

Sudah tentu ia akan menjadi pertembungan yang sengit memandangkan dua pasukan ini hanya dipisahkan dua mata menyaksikan Sabah di tangga keempat dengan 24 mata manakala Kedah di kedudukan kelima dengan 22 mata.

Bagi Rodney, Sabah kini dalam momentum yang lebih baik dan tuan rumah perlu lebih berhati-hati dengan pemain seperti Baddrol dan Park Tae-su yang dilihat antara pemain yang sukar dijangka.

Bukan itu sahaja, pemain dari Sarawak ini juga menganggap pengalaman yang ada pada Baddrol menyaksikan dia bijak mengawal apa jua situasi yang akhirnya boleh menghukum pihak lawan.

“Memang agak sukar apabila menentang Sabah sebab mereka pun baru tewas dengan Kuala Lumpur City FC (Piala FA) dan sudah tentu selepas ini mereka ingin bangkit untuk menang.

“Tetapi kita di Kedah juga tidak akan berdiam diri dan tidak boleh lagi kehilangan mata terutamanya selepas tewas dengan Selangor tempoh hari.

“Saya tengok Baddrol dan Tae-su banyak kelebihan di atas padang dan macam Baddrol, saya pernah bermain bersamanya sebelum ini, jadi kita dapat tengok dia sentiasa mampu untuk mengawal apa jua keadaan pun.

“Apatah lagi dengan pengalamannya yang lama di sini (Kedah), saya rasa apa-apa pun boleh berlaku dan kita tidak boleh nak pandang mudah perlawanan itu nanti,” jelasnya.

Dalam pada itu, Rodney berpuas hati apabila kini semakin mendapat kepercayaan pengendali, Nafuzi Zain untuk turun beraksi namun tidak boleh terlalu selesa.

Baginya, selepas diketepikan dalam beberapa aksi pada awal musim, dia tekad untuk terus berusaha merebut tempat dan kini konsisten dalam kesebelasan utama sejak lima perlawanan lalu.

“Kalau nak bercakap pasal prestasi, saya daripada awal musim banyak duduk di bangku simpanan dan selepas itu semakin diberi peluang untuk bermain.

“Jurulatih pun dah semakin yakin untuk beri saya peluang bermain, tetapi yang penting saya sentiasa kena cuba berusaha lebih keras dalam latihan.

“Saya juga selalu percayakan percaturan jurulatih dan sasaran peribadi saya adalah untuk mendapatkan kembali prestasi terbaik sepertimana masa awal-awal saya hadir ke Kedah pada musim 2021,” tambahnya.

Perlawanan Kedah Darul Aman FC lwn Sabah FC malam ini akan disiarkan secara langsung di Astro Arena Bola (803) dan Astro GO. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast