Foto: KPDN Perak

IPOH – Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 156 kilogram (kg) gula pasir putih bertapis kasar yang dipercayai cuba disorok peniaga, selepas menyerbu sebuah premis perniagaan di Taman Kaya, Taiping, semalam.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, susulan aduan orang ramai mengenai kesukaran membeli gula di kedai berkenaan, anggota penguat kuasa kemudiannya menyamar dan cuba membeli gula di premis itu, sebelum diberitahu bahawa gula sudah habis dijual.

Beliau berkata, pada kira-kira pukul 11 pagi sepasukan anggota penguat kuasa beruniform memasuki premis untuk membuat pemeriksaan, dan meminta peniaga terbabit mengisytiharkan stok, di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Hasilnya 156 kilogram (kg) gula pasir putih bertapis kasar yang tidak diisytiharkan telah ditemukan di premis berkenaan, dan semua barang kawalan gula berjumlah 156kg itu disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan dianggarkan RM446,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peniaga terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan menyorok barang kawalan. – Bernama

1 Komen

  1. byk kedai x nk jual gula..econsave oulong pn xde gula herann aku…..bukn kt taman kaya je..seluruh taiping dn memana ada kedai runcit..mesti sorok gula..sbb nk naik harga…sial tuul..minyak peket pn sama……

Comments are closed.