Mohamed Sukri Omar

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) Selangor perlu bersikap profesional dalam berhadapan dengan pesaing politik dengan hujah dilawan hujah.

Ketua Dewan Pemuda Perikatan Nasional (PN) Negeri, Mohamed Sukri Omar berkata, mereka tidak boleh menggunakan kuasa bagi menghalang, menyekat atau membatalkan apa sahaja program dari pihak pesaing iaitu program ceramah PN.

“Sikap tidak profesional hanya memberikan imej buruk kepada negeri Selangor yang dikenali sebagai negeri mempunyai banyak institusi pendidikan dan intelektual yang ramai.

“Inilah sebabnya rakyat perlu memilih PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kerana terlalu banyak isu PH Selangor selama ini.

“PRU15 November tahun lalu antara bukti rakyat sudah sedar dan bangkit. Ini fakta yang tidak boleh dinafikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Sukri mengulas terdapat usaha daripada kerajaan negeri untuk menghalang ceramah perdana PN iaitu Jelajah Selangor Baharu di Padang Astaka, Tanjong Karang malam esok.

Kata beliau, ceramah itu merupakan siri jelajah PN ke negeri yang bakal berlangsung PRN sebagai perkara biasa bagi sesebuah parti atau gabungan parti dalam menyampaikan informasi semasa kepada rakyat.

Ujarnya, menghalang ceramah itu jelas menunjukkan PH Selangor takut dengan gelombang rakyat berikutan PRU15 baru-baru ini.

Malah, kata beliau, tindakan menghalang menunjukkan sikap kerajaan Selangor yang ditadbir oleh PH sekarang mengamalkan politik lapuk dan tidak bertamadun.

“Gelombang PN menyapu bersih di Kedah, Terengganu dan Kelantan baru-baru ini jelas menunjukkan pengundi Melayu Islam khususnya memang tidak lagi mahukan PH sejak PRU 14.

“Ditambah lagi, Perlis juga kini ditadbir oleh PN menjadikan empat Menteri Besar dari Pas-PN.

“Jika PH Selangor lagaknya seperti anak jantan, tunjukkan kejantanan dengan bersikap adil kepada pesaing politik dalam konteks demokrasi yang dijamin oleh Perlembagaan,” katanya.

Mohamed Sukri yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor menjelaskan, PH negeri itu boleh pusing satu negeri menerusi nama kerajaan bagi meraih undi rakyat, kenapa PN tidak boleh memiliki kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman dalam penganjuran ceramah mega.

Katanya, Pemuda PN Selangor mendesak pihak bertanggungjawab dalam kerajaan PH Selangor untuk berhenti berbohong dalam apa jua alasan untuk tidak meluluskan penggunaan Padang Astaka, Tanjong Karang.

“Kita sudah masak perangai bacul sebegini. Menghalang program dengan pelbagai alasan yang direka-reka,” katanya. – MalaysiaGazette