Foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri menyarankan agar laluan kontra diaktifkan bagi mengatasi kesesakan luar biasa yang berlaku di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kesesakan luar biasa sejak Khamis lepas itu berlaku susulan musim cuti sekolah, cuti umum dan cuti hujung minggu.

Beliau berkata lebih 258,000 pengembara menggunakan laluan di BSI dan 63,000 pengembara di KSAB, direkodkan pada petang Khamis.

“Bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang, saya telah meminta pengurusan BSI dan KSAB mempertimbangkan agar laluan kontra dibuka khusus bagi pengembara yang menggunakan laluan pejalan kaki dan pengangkutan awam, terutama sekali sewaktu musim cuti sekolah atau cuti panjang.

“Laluan kontra ini boleh diaktifkan bagi pergerakan masuk (inbound) dan keluar (outbound) dari negara ini dalam tempoh tertentu, seperti musim cuti sekolah atau musim perayaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya malam tadi.

Onn Hafiz, yang turun padang bagi meninjau kesesakan di CIQ BSI semalam, berkata pengguna Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) juga disaran untuk merancang perjalanan terlebih dahulu supaya tidak terperangkap dalam kesesakan.

Beliau pada masa sama turut memohon agar pegawai Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk terus memastikan kelancaran aliran trafik keluar dan masuk ke negara ini.

Terdahulu, beberapa keping gambar kesesakan di CIQ BSI yang antaranya memaparkan orang ramai beratur panjang untuk memasuki bangunan itu, dikongsikan orang awam di media sosial. – Bernama