Nafuzi Zain. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 10 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mohd Nafuzi Mahammad Zain mahu anak buahnya segera memperbaiki sebarang kelemahan dalam permainan mereka untuk memastikan pasukan itu kekal dalam kelompok teratas Liga Super hingga ke akhir musim.

Beliau berkata, mutu permainan serta kesefahaman antara pemain perlu sentiasa ditingkatkan bagi menghadapi saingan liga yang kini memasuki pusingan kedua dan dijangka lebih sengit.

“Malam ini bukan pengakhiran, kita tahu liku-liku perjalanan dan cabaran masih banyak, apa yang penting kita kena ada peningkatan dan segala kelemahan dari segi persefahaman serta mutu permainan mesti dibaiki segera.

“Kita semua tahu pusingan kedua ini akan lagi mencabar, sebab itu pemain perlu lebih bekerja keras dan berusaha secepat mungkin memperbaiki kelemahan itu, semua kena fokus dalam perlawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas tamat perlawanan yang menyaksikan KDA FC mengutip tiga mata menewaskan Sabah FC 2-1 di Stadium Darul Aman di sini malam tadi.

Tiga mata yang diraih anak buah Mohd Nafuzi itu membolehkan KDA FC naik satu anak tangga ke kedudukan keempat liga dengan mengumpul 25 mata selepas mengharungi 13 perlawanan.

Walaupun mencapai sasaran yang diharapkan pada perlawanan malam tadi, Mohd Nafuzi berkata skuad Sang Kenari itu akan berdepan cabaran lebih getir dalam perlawanan seterusnya bertemu Perak FC pada 7 Jun.

“Perlawanan malam ini antara yang terbaik dari segi penguasaan permainan, hantaran dan kawalan bola, selain pemain cepat mendapatkan semula bola. Saya gembira apabila pasukan dapat bangkit selepas ketinggalan 1-0 sebelum mencapai kemenangan 2-1,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, pengalaman serta kemahiran individu dimiliki KDA FC, selain ketiadaan pemain tonggak Jailton Lorenco Da Silva yang diusung keluar akibat kecederaan memberi kesan kepada prestasi pasukannya.

“Kedah mempunyai pemain dengan kualiti cukup baik terutama ketika keadaan satu lawan satu dan mereka boleh mengkucar-kacirkan pertahanan Sabah, kami akur kemenangan pasukan itu,” katanya. – Bernama