Loh Sze Yee. Foto: AMIRUL SHAUFIQ 14 DISEMBER 2021.

IPOH – Kerajaan negeri bercadang menarik lebih banyak penerbangan antarabangsa ke Perak dalam usaha menggalakkan kemasukan pelancong asing sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Loh Sze Yee berkata, perkara itu menjadi antara fokus pihaknya bagi merancakkan industri pelancongan negeri ini.

“Perak perlu menjadi sebuah negeri yang diyakini oleh pelancong untuk melancong, tidak kira daripada negara mana sekali pun perlu ada strategi mapan daripada kedua-dua pihak.

“Sebagai contoh Vietnam, ada lapangan terbang mereka yang statusnya lebih kurang sama seperti di Ipoh untuk kita wujudkan sebuah pakej pelancongan yang efektif, murah dan berbaloi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Makan Malam Trip Batik Air Vietnam ke Perak dekat sini, malam tadi.

Terdahulu Loh meraikan 30 pemain industri pelancongan Vietnam pada program yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia Ho Chi Minh City dan Batik Air di Lost World of Tambun.

Sze Yee berkata usaha itu memerlukan tempoh masa yang agak panjang apatah lagi negara masih dalam fasa peralihan ke endemik susulan COVID-19.

“Kita perlu tahu juga kesediaan dan komitmen syarikat penerbangan yang kita tahu mengalami zaman gelap ketika pandemik dan kini industri penerbangan negara berusaha menangani kesan selepas pandemik, jadi kita perlu tunggu respon mereka,” katanya.

Perak menyasarkan kemasukan lapan juta pelancong domestik ke negeri ini sempena TMP 2024 dan kerajaan negeri optimis ia mampu dicapai dengan program pelancongan menarik yang ditawarkan, selaras dengan proses pemulihan daripada pandemik COVID-19.

TMP 2024 menawarkan ‘Pelancongan Pemulihan dan Pemuliharaan’ bertujuan merangsang pendapatan ekonomi menerusi pelancongan dan menyumbang kembali kepada ekologi dan pemulihan alam sekitar. – Bernama