Tangkap layar menunjukkan mangsa langgar lampu merah sebelum merempuh sebuah kereta di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran lampu isyarat Seagate di Pulau Pinang awal pagi tadi.

BAYAN LEPAS –  Padah melanggar lampu isyarat – seorang remaja maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta di simpang lampu isyarat di Lebih Raya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Seagate hari ini.

Kejadian 4.30 pagi itu mengakibatkan Muhammad Akid Mat Rozi, 18, maut di lokasi kejadian.

Berdasarkan video tular, mangsa dilihat menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dalam keadaan berbahaya dengan melakukan aksi ‘Superman’ selain sedang bersaing bersama seorang rakannya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dari arah Batu Maung dipercayai langgar lampu isyarat merah sebelum merempuh sebuah kereta jenis Proton Persona yang sedang membuat pusing U di laluan berkenaan.

“Akibat rempuhan itu, mangsa maut di lokasi kejadian susulan mengalami kecederaan parah pada anggota badan manakala pemandu kereta tersebut mengalami kecederaan ringan pada tangan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat dan pihak polis kini sedang mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hopsital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette