KUALA LUMPUR – Seorang wanita menempuh detik cemas apabila kereta Perodua Aruz yang dipandunya ditenggelami banjir di Jalan Meru, Taman Perindustrian Meru, Klang pagi tadi.
Bagaimanapun, wanita berusia 57 tahun itu berjaya diselamatkan orang awam yang menyedari sebuah kereta ditenggelami air sehingga mencecah bumbung.
Penolong Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.44 pagi.
“Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan itu.
“Bomba menerima maklumat berlaku limpahan air di lokasi itu pada kedalaman anggaran 1.3 meter yang mana terdapat sebuah kenderaan terperangkap di kawasan banjir kilat berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati, sebuah kereta jenis Perodua Aruz yang dipandu seorang wanita berumur 57 tahun terperangkap dalam limpahan air itu namun dia berjaya keluar dengan bantuan orang awam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya lagi, mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan banjir kilat sudah surut.
Terdahulu, kejadian banjir kilat di beberapa kawasan sekitar daerah Klang dan Shah Alam berlaku susulan hujan lebat sejak pagi tadi. – MalaysiaGazette