Gambar hiasan

ANKARA – Negara-negara pengeluar minyak bersetuju untuk meneruskan pengurangan pengeluaran dalam usaha untuk menaikkan harga yang merosot.

Arab Saudi akan mengurangkan satu juta tong sehari (bpd) pada bulan Julai.

Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu-sekutunya (OPEC+) menyasarkan untuk menurunkan sebanyak 1.4 juta tong sehari mulai tahun 2024.

OPEC+ menyumbang kira-kira 40% daripada minyak mentah dunia dan keputusannya boleh memberi kesan besar kepada harga minyak.

Dalam perdagangan pagi Asia pada hari Isnin, niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat lebih daripada 2% kepada sekitar AS$78 setong.

Pertemuan selama tujuh jam pada hari Ahad oleh negara-negara kaya minyak, yang diketuai oleh Rusia susulan kejatuhan harga tenaga.

Jumlah pemotongan pengeluaran, yang telah dilakukan OPEC+ sejak Oktober 2022, mencapai 3.66 juta tong sehari, menurut Timbalan Perdana Menteri Rusia Alexander Novak.

OPEC+, rumusan yang merujuk kepada Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya, telah pun bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak dua juta tong sehari, kira-kira 2% daripada permintaan global.

“Hasil perbincangan adalah lanjutan perjanjian sehingga akhir 2024,” kata Novak.

Pada April, ia juga bersetuju pemotongan secara sukarela sebanyak 1.6 juta bpd yang berkuat kuasa pada Mei, satu langkah yang menyaksikan kenaikan harga secara pantas tetapi gagal membawa pemulihan yang berkekalan.

Pada hari Ahad, Menteri Tenaga Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman berkata, pemotongan satu juta tong sehari boleh dilanjutkan selepas Julai jika diperlukan.

“Ini adalah lollipop Arab Saudi,” katanya, dalam apa yang dilihat sebagai usaha untuk menstabilkan pasaran. – Agensi