Dua remaja lelaki kelihatan memukul seorang gelandangan di tepi jalan menggunakan besi menyerupai besbol dalam kejadian baru baru ini.Ihsan IPD Klang Selatan

KUALA LUMPUR – Tindakan tiga remaja lelaki yang memukul beberapa gelandangan di tepi jalan tanpa berperikemanusiaan berjaya diberkas polis.

Ketiga-tiga suspek masih bersekolah.

Sementara itu, seorang lagi rakan sejenayah mereka yang masih bebas dan disyaki turut terlibat dalam jenayah tersebut sedang giat diburu polis untuk membantu siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pada Ahad Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan telah terkesan dua video yang tular di media sosial Twitter yang berdurasi 24 saat memaparkan kejadian yang mana empat lelaki dipercayai warga tempatan menaiki sebuah kereta bertindak memukul teruk gelandangan menggunakan besi pemukul baseball.

“Bertindak atas pengesanan penularan video tersebut, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Bertindak atas maklumat pada jam lebih kurang 3 pagi hari ini (Isnin) Cawangan D7 BSJ IPD KLang Selatan telah membuat tangkapan terhadap tiga lelaki warga tempatan berumur 16 tahun di sekitar Klang yang disyaki bertanggungjawab dalam jenayah tersebut,” katanya dalam kenyataan kejayaan tersebut tengah hari ini.

“Semakan mendapati seorang suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau manakala dua suspek lagi bebas sebarang rekod jenayah.

Tambah beliau, polis berjaya merampas tiga telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Proton Wira untuk membantu siasatan lanjut polis dalam kes tersebut.

Katanya, siasatan awal polis mendapati terdapat tiga kejadian melibatkan kesemua suspek ke atas tiga mangsa gelandangan yang berbeza.

“Ketika ini pihak polis telah mempergiatkan usaha untuk mengesan mangsa-mangsa kejadian tersebut untuk membantu merakam keterangan polis.

“Malah, polis juga sedang dalam usaha untuk mengesan dan menangkap seorang lagi suspek yang masih bebas dan disyaki terlibat dalam insiden pukul gelandangan itu.

“Kesemua tiga suspek lelaki itu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang pagi tadi untuk permohonan perintah reman dan mahkamah membenarkan mereka direman selama tiga hari iaitu sehingga 7 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut polis.

“Kertas siasatan apabila dilengkapkan kelak akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan arahan lanjut,” tegas beliau.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes kejadian berkenaan dinasihati agar tampil segera menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau di mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette