Pakej Rahmah Cermin Mata, yang dijayakan menerusi kerjasama dengan MOG Eyewear.

KUALA LUMPUR – Inisiatif Payung Rahmah kini diperluaskan kepada Pakej Rahmah Cermin Mata, yang dijayakan menerusi kerjasama dengan MOG Eyewear, sebuah syarikat di bawah pengurusan Metro Optical Group.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, rakyat Malaysia boleh beli cermin mata pada harga antara RM50 ke RM100.

“Kalau ada yang nak ‘upgrade’ kanta kepada ‘blue cut lens’ dengan perlindungan sinaran ultra ungu boleh tambah RM100 sahaja,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut beliau, pakej ini boleh didapati di 96 cawangan MOG Eyewear di Malaysia.

“Insya-Allah, Inisiatif Payung Rahmah akan diteruskan dengan pelbagai lagi tawaran menarik sesuai dengan keperluan dan kehendak rakyat Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette