Extra Joss kini penaja rasmi skuad Harimau Malalaya untuk tempoh setahun. Ihsan FAM

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan syarikat pengeluar minuman bertenaga, Extra Joss, PT Bintang Toedjoe sebagai rakan penaja terbaharu skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya untuk tempoh setahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan FAM, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, kehadiran Extra Joss yang sudah cukup sinonim di dalam arena sukan negara akan memberi ruang kepada FAM untuk memperluaskan lagi jenama Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.

“Seperti yang kita tahu, Extra Joss merupakan antara jenama minuman tenaga terkenal dan menerusi kerjasama yang dimeterai hari ini, ia bukan sahaja dapat membantu meningkatkan prestasi pemain Harimau Malaya beraksi, malah mampu menjadi jambatan persahabatan antara dua negara.

FAM menandatangani MoU bersama Extra Joss sebagai penaja rasmi Harimau Malaya di Wisma FAM , Kelana Jaya hari ini.Ihsan FAM

“Mewakili Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, barisan ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM dan seluruh warga kerja FAM, saya amat mengalu-alukan kedatangan Extra Joss sebagai rakan minuman tenaga rasmi FAM dan mengharapkan kerjasama ini akan mendatangkan manfaat buat skuad bola sepak kebangsaan serta Extra Joss,” katanya di majlis pemeterian perjanjian itu.

Majlis menandatangani perjanjian di antara FAM dan Extra Joss itu telah berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya dengan disaksikan oleh Hamidin bersama kedua-dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah barisan ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman serta Ibu Fanny Kurniati dan Bapak Daniel Christianto (wakil Extra Joss).

Sementara itu, dalam majis sama Ibu Fanny berkata, Extra Joss amat teruja untuk memulakan kolaborasi bersama FAM lebih-lebih lagi menjelang perlawanan antarabangsa Tier 1 di Kuala Terengganu pada 14 dan 20 Jun ini.

Extra Joss diumumkan oleh FAM sebagai rakan penaja Harimau Malaya di Wisma FAM Kelana Jaya petang tadi. Ihsan FAM

Katanya, kolaborasi bersama FAM amat istimewa buat Extra Joss kerana pihaknya menyedari bahawa jenama Harimau Malaya adalah cukup signifikan buat peminat-peminat bola sepak di Malaysia.

“Kami juga melihat kolaborasi ini sebagai peluang keemasan buat kami untuk memperluaskan lagi serta menembusi pasaran tempatan selain mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif menerusi Extra Joss.

“Extra Joss mempunyai visi untuk menjadi pakar tenaga nombor satu di Asia Tenggara. Tujuan Extra Joss untuk memberi tenaga kepada orang ramai untuk mencapai prestasi yang luar biasa dan berkembang maju dalam dunia yang kompetitif.

“Extra Joss menyediakan penggalak tenaga segera dan fokus untuk bekerja lebih jauh dan menjadi juara,” ujarnya.-MalaysiaGazette