Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Gara-Gara terpedaya dengan tawaran komisen lumayan – seorang pegawai bank tertipu dengan tawaran kerja sambilan di Facebook dan mengalami kerugian  lebih RM50,000.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, polis telah menerima aduan daripada mangsa seorang lelaki pada 4 Jun lalu berkaitan penipuan tawaran kerja sambilan tersebut.

Katanya, pengadu berusia 41 tahun dan bekerja sebagai pegawai bank mendakwa kejadian berlaku pada Ahad lalu.

“Pengadu telah dijanjikan komisen  sebanyak 30 peratus daripada jumlah pembayaran. Bagi tugasan pertama, pengadu mendapat pulangan sebanyak RM130 sebelum pengadu telah membuat enam kali transaksi ke dalam dua akaun berbeza yang disediakan sindiket penipuan kerja sambilan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun pengadu gagal mendapat pulangan dan bayaran balik selepas itu, kata Asmadi.

“Pengadu mengesyaki telah ditipu kerana jumlah bayaran yang diminta semakin besar dan dimaklumkan sekiranya pengadu berhenti membuat kerja tersebut wang pengadu akan hangus.

“Pengadu akibat penipuan tawaran pekerjaan sambilan itu telah mengalami kerugian lebih kurang RM53,700,” katanya lagi.

Tegasnya kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.- MalaysiaGazette