Lynas Malaysia Sdn. Bhd.

KUALA LUMPUR – Keputusan memberi lanjutan tempoh operasi selama enam bulan kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) adalah muktamad dan tidak boleh diubah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, pada 17 Mei tahun lepas, Lynas sudah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Tenaga Atom (JTA) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ketika itu bagi menggugurkan empat syarat lesen LPTA/A/1333.

Menurutnya, ia berkaitan pengurusan residu ‘water leach purification’ (WLP) dan aktiviti loji pemecahan dan peresapan (C&L) di Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) Gebeng.

“Permohonan berkenaan sudah dibawa untuk pertimbangan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB). Pada 13 Februari 2023, Lembaga menolak permohonan berkenaan.

“Rayuan yang dikemukakan Lynas pada 28 April 2023 adalah dibuat berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 32, Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304).

“Dengan kuasa yang diberikan kepada Menteri Mosti di bawah seksyen yang sama juga, keputusan ke atas rayuan sudah dibuat pada 5 Mei 2023 dan disampaikan kepada Lynas.

“Mengambil kira kesan keputusan ini terhadap rantaian bekalan nadir bumi di peringkat global, MOSTI bersetuju untuk melanjutkan tempoh aktiviti C&L di LAMP, Gebeng sehingga 31 Disember 2023,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai asas rayuan yang dikemukakan oleh Lynas terhadap terma lesen operasi yang telah dipersetujui sebelum ini, dan apakah keputusan kementerian serta rasional terhadap rayuan.

Chang berkata, apabila pertama kali empat syarat dikenakan pada 2020, Lynas tidak mengemukakan sebarang rayuan dalam tempoh 30 hari seperti termaktub dalam Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984.

“Memang tidak ada sebarang rayuan dikemukakan (Lynas) dalam tempoh 30 hari pada waktu itu. (Soalan) kenapa kita berikan lanjutan enam bulan kerana kita dimaklumkan bahawa fasiliti loji pemecahan dan peresapan di Australia tidak dapat disiapkan semasa Julai tahun ini.

“Jadi, mengambil kira rantaian global supaya tidak terjejas maka kita ambil keputusan diberikan lanjutan enam bulan lagi.

“Tetapi, lanjutan ini adalah muktamad. Mengikut Seksyen 32(5) Akta Perlesenan Tenaga Atom, bahawa keputusan itu adalah muktamad dan tidak boleh diubah lagi,” tambahnya. – MalaysiaGazette