Gelagat dua pelajar menghilangkan dahaga dan menyejukkan badan susulan cuaca panas yang melanda sementara menunggu ahli keluarga menjemput mereka pulang dari sekolah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan. Foto MUHD NA’IM, 02 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan semula pelaksanaan aktiviti luar bilik darjah di semua institusi pendidikan di bawahnya.

Kementerian tersebut menerusi akaun Twitter berkata, kebenaran tersebut dilaksanakan berpandukan Garis Panduan Pelaksanaan Aktiviti Luar Institusi Pendidikan Bawah KPM Semasa Cuaca Panas.

Bagaimanapun, sekolah yang melaksanakan aktiviti di luar bilik darjah perlu mematuhi beberapa perkara yang telah ditetapkan antaranya memastikan penyertaan murid adalah sukarela dan mendapat kebenaran daripada ibu bapa atau penjaga, katanya.

Selain itu, tambahnya, pemantauan perlu sepanjang aktiviti dilakukan termasuklah membatalkan dengan segera aktiviti sekiranya berlaku peningkatan suhu melebihi 35 darjah Celsius.

“Menerangkan kepada murid langkah pencegahan, simptom dan tindakan rawatan, menggalakkan murid memakai pakaian yang bersesuaian dan berwarna cerah, menyediakan kemudahan penyejukan seperti tempat berlindung (kanopi, payung), ais atau tuala basah.

“Memastikan murid minum air yang cukup sebelum semasa dan selepas aktiviti dengan menyediakan air minuman, kebenaran waktu rehat tambahan semasa aktiviti dan waktu pemulihan yang cukup

“Membuat penyesuaian tempoh, waktu mula dan tamat aktiviti berdasarkan perubahan cuaca persekitaran,” jelas KPM.

Menurut kementerian berkenaan, pihak sekolah perlu merujuk murid yang mengalami sebarang kesan fenomena kepada klinik dan hospital berdekatan dengan segera.

Kes-kes berkaitan keselamatan dan kesihatan murid kepada ibu bapa dan penjaga perlu dilaporkan dengan segera,” tambahnya. – MalaysiaGazette