Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas kerugian RM93,381.96 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan tidak wujud.

Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, mangsa telah ditawarkan peluang pekerjaan oleh seorang individu tidak dikenali melalui aplikasi Telegram pada 19 Mei lalu.

Mangsa telah ditawarkan wang komisen untuk tekan butang subscribe bagi saluran di laman sesawang YouTube yang diberikan.

Tertarik kepada tawaran tersebut, mangsa telah pun melaksanakan tugasan tekan butang subscribe pada tiga saluran YouTube yang diberikan.

Menurutnya, mangsa telah menerima wang komisen sebanyak RM90 melalui akaunnya.

“Bagi melengkapkan tugasan yang seterusnya, mangsa telah diarahkan untuk membuat bayaran ke dalam beberapa akaun bank sehingga mencecah RM93,381.96 dan gagal menerima sebarang komisen yang dijanjikan,” ujarnya dalam kenyataan di sini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Zam Halim menasihatkan orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan mana-mana sindiket tawaran pekerjaaan yang menjanjikan pulangan lumayan dan segera tampil membuat laporan polis sekiranya menjadi mangsa dalam kes penipuan ini. – MalaysiaGazette