Keputusan rayuan ke SBP, SMKA bagi Kalendar Akademik sesi 2023/2024 boleh disemak mulai 20 April ini. - Gambar arkib

PUTRAJAYA – Seramai 10,109 atau 2.7 peratus daripada 373,974 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 berjaya memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali, seramai 403,637 calon telah menduduki peperiksaan bertulis SPM 2022 pada 20 Februari hingga 15 Mac lalui, membabitkan 3,355 pusat peperiksaan seluruh negara.

Kata Pkharuddin, seramai 75,322 calon atau 20.1 peratus pula memperoleh keputusan sekurang-kurangnya kepujian.

“Bagi calon mendapat keputusan lulus, ia membabitkan seramai 128,193 atau 34.3 peratus, manakala 126,793 calon atau 33.9 peratus pula sekurang-kurangnya gagal satu mata pelajaran.

“Daripada jumlah calon yang menduduki peperiksaan itu juga, seramai 32,118 bersamaan 8.6 peratus memperoleh keputusan kombinasi gred dan 0.4 peratus atau 1,439 calon memperoleh keputusan semua gagal,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan SPM 2022 di Kementerian Pendidikan di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Pkharuddin turut mendedahkan Prestasi Gred Purata Nasional (GPN) SPM 2022 menunjukan penurunan, iaitu 4.74 berbanding 4.86 bagi SPM 2021.

“Nilai GPN lebih rendah menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik, namun kementerian tidak membuat perbandingan kerana setiap calon mempunyai kekuatan masing-masing.

Jumlah calon layak dapat sijil pula meningkat kepada 91.6 peratus iaitu kali pertama mencecah lebih 90 peratus sejak 2013.

Sementara itu, KPM turut mengumumkan calon keputusan SPM tahun 2022 yang dikeluarkan hari ini boleh memperoleh keputusan peperiksaan daripada sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi.

Bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan.

Menurut KPM lagi, calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan peperiksaan melalui kaedah lain termasuk secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM tahun 2022 mulai jam 10 pagi hari ini sehingga jam 6 petang pada 14 Jun 2023.

Selain itu, calon juga boleh menyemak secara sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM tahun 2022 yang akan diaktifkan mulai jam 10 pagi hari ini sehingga jam 6 petang pada 14 Jun 2023. -MalaysiaGazette