Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib bercakap kepada media pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Anak kepada bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berharap momentum permohonan pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada ayahnya tidak terhenti atau menjadi perlahan.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib berkata, perkara berkenaan tidak berlaku, sebaliknya beliau yakin parti tersebut masih memperjuangkan keadilan untuk ayahnya.

“Saya sebenarnya yakin UMNO masih memperjuangkan ayahanda saya tapi keluarga saya tak mahu momentum itu perlahan atau dihentikan.

“Kita kena terus sentiasa mengingati. Dia masih di dalam dan saya harap usaha-usaha untuk membebaskan dan membela beliau terus diadakan,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas berkenaan dakwaan Najib kini seolah-olah dipinggirkan.

Terdahulu Nizar yang mewakili Najib menerima Anugerah Tokoh Pemuda sempena Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2023.

Anugerah tersebut bertujuan menghargai jasa dan sumbangan Najib yang membantu meningkatkan semula sokongan rakyat terhadap UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Mengulas lanjut, Nizar berkata, ayahnya sentiasa berpendirian untuk membantu parti bergerak dan maju daripada pelbagai aspek namun ia terhalang kerana terpaksa menjalani hukuman penjara.

“Kalau ayahanda saya ada, sudah tentu beliau berniat untuk membantu parti, kalau diberikan peluang tapi beliau sedang menjalani hukuman, beliau tak boleh membantu buat masa ini.

“Semasa bebas, beliau banyak membantu jentera Barisan Nasional (BN) sehabis baik sehingga kita dapat menang di Melaka dengan majoriti tiga per empat sebelum ini,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau sempat berkongsi perkembangan kesihatan ayahnya.

“Ayahanda sihat, Alhamdulilah. Masih tabah dan sabar. Kita harap beliau terus bersemangat dan jangan berputus asa supaya satu hari nanti beliau akan mendapat kebebasan,” katanya. – MalaysiaGazette