EMPAT hari Bawah Kolong (BK) berkampung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) ikuti Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.
Perhimpunan agung ini berlangsung dari 7 hingga 10 Jun dan melibatkan seramai 6,341 perwakilan daripada 190 bahagian seluruh negara termasuk Sabah.
Pecahan jumlah itu ialah Pergerakan Wanita seramai 1,159 orang, Pergerakan Pemuda seramai 1,160 orang, Pergerakan Puteri pula seramai 1,134 orang, manakala perwakilan peringkat bahagian seramai 2,888 orang.
Daripada 6,431 perwakilan ini lebih kurang 55 orang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan. Bermacam-macam isu, topik, tajuk telah dilantunkan pembahas mengikut perkembangan semasa politik.
Ada yang bidas bekas pemimpin UMNO yang tinggalkan parti kerana nak ikut parti lawan seperti Pas dan Bersatu, ada yang sindir pemimpin yang bercakap soal rakyat, tapi di sebaliknya adalah untuk kepentingan diri.
BK sebenarnya kasihan kepada mereka yang mengambil bahagian dalam perbahasan ini. Sebabnya, ia bagaikan mencurah air ke daun keladi. Cakap berdegar-degar atas pentas, tetapi di peringkat bawah umpama masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.
Inilah yang selalu berlaku setiap kali PAU, kursus mahupun bengkel. Mereka hanya terkesan pada waktu itu sahaja, selepas pulang ke rumah masing-masing, segala teguran, ingatan, nasihat tidak lagi diingati.
Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri habis ayat dikarang untuk memberi semangat dan kesedaran kepada ahli masing-masing.
Tetapi, selepas sampai ke kampung, nota-nota kecil yang dicatatkan ketika hari perhimpunan hilang entah ke mana. Ada yang basah kuyup dan hancur dalam poket baju atau poket seluar selepas dimasukkan mesin basuh.
Segala catatan hilang begitu sahaja, malah yang tersimpan dalam minda pun turut hilang, tidak ingat apa-apa.
Inilah sikap ahli UMNO, sama ada pemimpin negeri, bahagian mahupun cawangan. Mereka telah menghampa dan mengecewakan sejumlah besar ahli bawahan yang mengharapkan mereka membawa balik segala input yang dikutip di Kuala Lumpur.
Akar umbi yang tidak pernah berpeluang menyertai persidangan di PWTC atau kursus di Janda Baik, Pahang sentiasa menunggu dan menanti wakil-wakil mereka balik berkongsi ilmu yang digarap di peringkat pusat mahupun negeri.
Namun, masuk angin keluar asap. Harapan mereka punah. Hasrat mereka untuk mendapatkan arahan kerja daripada ketua masing-masing, tidak kesampaian.
Justeru, ramai dalam kalangan mereka kecewa dan putus harap kepada UMNO. Mereka tidak lagi mempercayai UMNO dan mereka secara tidak langsung menganggap ketua mereka hanya pentingkan diri sendiri daripada ahli dan parti.
BK tahu bagaimana perasaan ahli bawahan, sebab BK sendiri pernah berhadapan dengan permasalahan ini. UMNO, walaupun kalah dalam dua PRU, tetap tidak mahu berubah, lebih lagi dalam persiapan menghadapi PRU dan PRN.
UMNO lebih mengambil berat atau mementingkan pemilihan jawatan di peringkat parti. Kalau pertandingan ini, mereka sanggup berhabis duit poket sendiri semata-mata untuk menang.
Tetapi, kalau PRU atau PRN, mereka mahu menjadi calon. Ada yang sanggup melobi Presiden supaya memilih mereka bertanding di kerusi Parlimen atau DUN, tetapi pada masa sama mereka tidak mengharapkan kemenangan.
Mereka lesu dalam berkempen untuk menarik sokongan undi kerana takut habis duit poket sendiri, sedangkan rasa takut itu tidak pernah bersarang dalam diri kalau turun berkempen merebut jawatan parti.
Inilah UMNO dulu, kini dan selama-lamanya. Tidak pernah mahu ambil iktibar dari kekalahan. Bagi mereka, kalah pun dapat habuan, menang lagi mewah. Jadi, tidak ada bezanya. Bagi mereka, baik kalah dari menang.
Inilah perangai segelintir ahli UMNO. Tidak pernah ada rasa cinta kepada parti. Kalau ‘ada’ pun itu hanya retorik. Keikhlasan itu tidak ada.
BK juga tidak nafikan ada dalam kalangan pimpinan UMNO yang baik, ikhlas dan jujur dalam perjuangan, tetapi jumlahnya agak sedikit, tetapi ia tak dapat membantu untuk memenangkan parti pada PRU mahupun PRN. – MalaysiaGazette