Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 09 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid hari ini meminta supaya Datuk Seri Najib Tun Razak diberikan keadilan sewajarnya di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Permintaan itu dilontarkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2023 ketika Ahmad Zahid menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Dewan Merdeka.

“Bekas pemimpin kita  sekarang ini yang berada di belakang tadbir besi pun mendoakan dan mengharapkan kerajaan perpaduan ini merampas semula enam negeri ini.

“Kita berikan semangat walaupun beliau (Najib) tidak berada bersama kita cara fizikal, jiwa dan roh beliau tetap bersama kita. Semangat beliau tetap bersama kita. Kita berikan laungan bersemangat untuk beliau.

“Kita mahukan keadilan untuk Datuk Seri Najib Razak. Kita mahu keadilan kepada beliau sebagai seorang manusia,” tegas Ahmad Zahid .

Menurut Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, walaupun Najib berada di dalam penjara, bekas Presiden UMNO itu berdoa dan berharap agar Kerajaan Perpaduan  dapat merampas negeri yang dikuasai pembangkang.

Perwakilan UMNO memegang poster Solidariti Untuk Najib Razak ketika di perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 09 JUN 2023.

Turut disiarkan rakaman video anak Najib iaitu Datuk Mohd Nizar bahawa bapanya menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

“PM lihat sendiri apa yang dinyatakan. Kita di sini yakin beliau (Najib) tetap berada di Dewan Merdeka.

“Kita berdoa, kita terus berusaha menganggapi hasrat yang sangat besar ini. Majlis Tertinggi telah mengambil resolusi dan pendirian UMNO tidak berubah untuk membela keadilan untuk Datuk Seri Najib.

“Kepada Datin Seri Rosmah Mansor dan keluarga bersabarlah. Mudah-mudahan Allah akan memakbulkan, segala doa kita semua bersama beliau dan ahli keluarga,” kata Zahid dengan nada sebak.

Dalam video yang dipaparkan pada perhimpunan agung tersebut, Mohd Nizar menjawab dakwaan bahawa ayahnya marah terhadap Kerajaan Perpaduan dan menuntut supaya ahli UMNO menyokong Perikatan Nasional.

“Ini tidak benar sama sekali. Ayahanda saya tidak pernah menyuruh ahli-ahli UMNO supaya membelakangi Kerajaan Perpaduan dan menyokong Perikatan Nasional. Itu tidak pernah berlaku,” kata Mohd. Nizar.-MalaysiaGazette