JAMINAN yang diberikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa parti itu tetap akan mendapatkan pembelaan terhadap Datuk Seri Najib Razak sedikit sebanyak meredakan keresahan akar umbi.
Ramai penyokong Najib dalam UMNO mengharapkan bekas Perdana Menteri yang dipenjarakan sejak 23 Ogos tahun lalu itu dibebaskan segera supaya beliau dapat bersama mereka dalam kempen enam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Mereka dapat menyaksikan sendiri tahap sokongan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) merosot apabila kelibat Bossku tidak kelihatan pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Apa yang berlaku pada PRU15 adalah di luar jangkaan memandangkan keputusan beberapa pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU14 serta PRN Melaka dan Johor menunjukkan sokongan terhadap BN kembali meningkat.
Berdasarkan prestasi terburuk UMNO dan BN pada PRU15, keresahan akar umbi yang bimbang situasi serupa akan berulang pada PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu memang ada asasnya.
Tidak dapat dinafikan bahawa populariti Najib merupakan salah satu faktor penting yang sangat membantu dalam usaha menarik sokongan rakyat terhadap BN.
Selepas PRU14, Najib boleh sahaja duduk diam-diam dan tidak ambil peduli lagi tentang jatuh bangun UMNO dan BN kerana beliau bukan lagi pemimpin penting dalam parti.
Namun, beliau tetap turun padang di mana sahaja calon BN bertanding serta bekerja keras meyakinkan rakyat untuk kembali menerima BN dan UMNO.
Justeru, pemimpin-pemimpin UMNO khususnya mereka yang menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan perlu berusaha lebih gigih dalam usaha membela Najib.
Laungan ‘Bebaskan Bossku!’ di dalam Dewan Merdeka tidak memadai selagi tiada perkembangan yang positif berhubung permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan diraja.
Sekurang-kurangnya, usahakanlah agar permohonan Najib itu dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan secepat mungkin dan selepas itu, terserahlah kepada budi bicara dan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Pucuk pimpinan UMNO perlu sedar bahawa kesabaran akar umbi khususnya mereka yang bersolidariti dengan Najib ada hadnya dan mereka tidak mahu menunggu terlalu lama.
Sudah kedengaran cakap-cakap penyokong Najib mungkin tidak mahu membantu kempen parti semasa PRN nanti malah ada yang menyatakan tidak mahu keluar mengundi sekiranya tiada perkembangan positif dalam usaha membebaskan Najib.
Usahlah dipandang remeh peringatan yang diberikan ahli-ahli UMNO itu jika tidak mahu melihat gelombang penolakan akar umbi berlaku pada enam PRN nanti. – MalaysiaGazette