MAKKAH – Selain bintang terkemuka Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema yang berpindah ke kelab bola sepak di Arab Saudi, bekas pemain JDT Asraruddin Putra Omar turut berhijrah ke negara itu.
Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan itu bukan menandatangani kontrak dengan mana-mana kelab di Arab Saudi, sebaliknya tinggal di Tanah Suci Makkah bagi mencari kebahagian dan mendalami ilmu agama.
Asraruddin Putra, 35, yang tidak pernah mengumumkan persaraan daripada arena bola sepak selepas mengalami kecederaan di kaki kirinya ketika bersama JDT berkata ramai tidak mengetahui mengenai keberadaannya di sebuah perkampungan Melayu di Bukit Ajyad di sini.
“Saya sebenarnya ada pasang impian sejak kecil dulu, saya tengok orang datang Makkah buat umrah, kalau ada rezeki nak duduk sini sama ada di Makkah atau Madinah.
“Tetapi hanya sekadar impian sahaja lah sebab saya tak kenal sesiapa di Makkah atau Madinah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Katanya beliau kemudian mengetahui mengenai perkampungan berkenaan menerusi kenalannya selepas melakukan umrah buat kali kedua di Tanah Suci pada 2022, sebelum terpaut untuk tinggal di situ.
Menurut Asraruddin Putra beliau kembali ke Makkah pada awal tahun ini dan berada di sini selama tiga bulan dengan menyewa rumah di perkampungan Melayu berkenaan, kira-kira tiga kilometer dari Masjidil Haram.
Pemain yang pernah menjalani latihan percubaan bersama kelab gergasi Belanda, PSV Eindhoven itu turut bertemu jodoh dengan Tengku Nurliyana Tengku Azlan, seorang jururawat berasal dari Gong Badak, Terengganu yang bekerja di sebuah hospital di Jeddah, Arab Saudi.
Mereka berdua mendirikan rumah tangga pada 13 Mei lepas di Shah Alam Selangor, sebelum kedua-duanya kembali ke Makkah, tiga hari kemudian.- BERNAMA