Program Reaching Community : Hunitarian Initiative 2.0 di Perkampungan Orang Asli Sungai Mas bermula 9 hingga 11 Jun disertai lebih daripada 40 sukarelawan.

KUANTAN – Kalau tak pecahkan ruyung, mana dapat sagunya.

Seorang kanak-kanak Orang Asli dari Perkampungan Sungai Mas di sini berazam untuk melaungkan azan di surau kampungnya selepas berjaya melaungkan azan buat kali pertama ketika masuk solat  Isyak malam tadi.

Akmal Asyraf Ayu

Akmal Asyraf Ayu, 10, rasa teruja dapat mengalunkan azan selepas dilatih oleh pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan yang menyantuni masyarakat orang asal itu.

Bagi Akmal, pengalaman itu mengubah persepsinya yang sering menolak kerana tidak berkeyakinan untuk melaungkan azan di hadapan orang ramai.

”Saya memang tak berani nak azan dekat surau depan semua orang. Macam tak percaya dapat azan juga. Mula menggigil tapi nasib abang Idris Hud (pelajar UIAM) tolong sampai berani. Rupanya seronok, sekarang dah yakin, Esok nak azan lagi Maghrib,” katanya.

Menurut pelajar tahun empat Sekolah Kebangsaan Sungai Mas, pengalaman pertama menjadikannya tekad untuk menjadi sukarelawan muazin di kampung itu.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada kehadiran sukarelawan yang masuk kampung memberi pendedahan aktiviti kanak-kanak termasuk ativiti dakwah.

Ujarnya, ilmu praktikal solat, mengambil wuduk, melaung azan dan iqamat serta mengaji akan diamalkan oleh bersama rakan-rakannya.

”Terima kasih abang Idris bagi saya semangat sampai saya boleh azan, saya punya seronok sampai azan sekali lagi di tempat ambil wudhuk,” tambahnya.

Amar Irfad Fitri,

Manakala bagi Amar Irfad Fitri, 11,  program Reach Community 2.0 ini wajar dilaksanakan kerana latihan praktikal ibadah itu membantunya dan kawan-kawan sekampung mengimarahkan surau.

”Bila jumpa kakak dan abang UIA, bertambah semangat untuk belajar juga, kami pun nak berjaya juga. Kawan-kawan pun datang ramai menyertai aktiviti Reach 2.0 ini, memang seronok,” katanya.

Junit Kaidhir

Sementara itu, Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Asli (PePIMA), Junit Kaidhir berkata, program komuniti yang dijalankan oleh kumpulan mahasiswa itu sangat digalakkan berikutan masyarakat Orang Asli dahagakan aktiviti dakwah.

Terdahulu Volunteer Team bersama SDEV IIUM Kampus Kuantan  menganjurkan Reaching Community  : Hunitarian Initiative  2.0 di Perkampungan Orang Asli Sungai Mas bermula 9 hingga 11 Jun 2023.

Program tersebut disertai lebih 40 sukarelawan termasuk dari Malaysia Relief Agency (MRA) dan mendapat kerjasama Majlis Ugama Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Antara pengisian program ialah pemeriksaan dan konsultasi kesihatan, aktiviti kanak-kanak, aktiviti dakwah dan ziarah mahabbah kasih. – MalaysiaGazette