PORT DICKSON – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung keputusan menghentikan penajaan jabatan berkenaan dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata KKM juga sedia mengkaji semula kajian dilakukan pada 2019 yang mendapati bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai 2026 hingga 2030.
“Kita tahu ada perubahan, terutamanya selepas pasca COVID-19 ini, jadi mungkin ada perkara baharu yang perlu dilihat semula pada kajian tersebut, mungkin pada polisi baharu.
“Kita bimbang juga (pelajar tidak berminat nak sambung pelajaran) perkara itu boleh berlaku. Kita akan lihat kajian yang telah dilakukan itu, supaya keputusan terbaik dapat dibuat,” katanya kepada pemberita pada selepas merasmikan Majlis Kajian Global Adults Tobacco Survey (GATS) di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Pendidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Fariza Ngah.
Beliau berkata KKM mengakui bimbang keputusan tersebut bakal memberi kesan kepada pelajar untuk menyambung pengajian di peringkat universiti.
Katanya perkhidmatan kesihatan adalah penting justeru profesion seperti doktor dan jawatan lain dalam skim perubatan amat diperlukan di negara ini.
Media melaporkan kerajaan menghentikan penajaan JPA dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi berikutan kajian KKM mendapati bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai tahun 2026 hingga 2030.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata Laporan Petunjuk Kesihatan 2022 melaporkan pencapaian nisbah jumlah keperluan tenaga kerja perubatan seluruh negara kepada jumlah populasi penduduk sehingga Disember 2021 adalah 1:420 dan dijangkakan nisbah 1:400 akan dapat dicapai pada 2025.
Pada majlis hari ini Dr Zaliha berkata GATS merupakan suatu tinjauan isi rumah berkaitan penggunaan tembakau yang dijalankan di seluruh negara.
Katanya tinjauan tersebut dijalankan oleh KKM dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.
“Institut Kesihatan Umum (IKU), akan menjalankan GATS buat kali kedua di mana GATS pertama telah dijalankan pada 2011. Pengumpulan data akan dijalankan dari 12 Jun hingga 22 Julai ini,” katanya.
Menurut beliau tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 melaporkan 4.8 juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas adalah perokok aktif.
GATS bertujuan untuk mendapatkan maklumat terkini tentang penggunaan tembakau dan memantau keberkesanan intervensi kawalan tembakau.
Beliau berkata tinjauan itu akan mendapatkan data berkenaan peratus penggunaan tembakau, rokok elektronik dan produk tembakau yang dipanaskan, dan indikator-indikator utama kawalan tembakau lain.
Jelasnya data terkini dan tren penggunaan tembakau daripada GATS akan membantu pihak KKM untuk memperkukuhkan strategi kawalan tembakau di negara ini.
Tinjauan ini akan melibatkan kira-kira 5,000 isi rumah yang dipilih secara rawak di seluruh negara, menyasarkan individu berumur 15 tahun dan ke atas. – BERNAMA